Pemberian Tanah Kepada Sekolah Tamil

KENYATAAN MEDIA

12 OGOS 2009 (RABU)

PEMBERIAN TANAH KEPADA SEKOLAH TAMIL


Shah Alam - Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pemberian sebuah tapak tanah berukuran 2.72 ekar di Jalan Dato' Dagang 6, Lot 66392, Taman Sentosa, Klang bagi pembinaan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SRJKT).

Kelulusan dibuat setelah meneliti permintaan penduduk dikawasan Taman Sentosa dan mengenalpasti bahawa sekolah-sekolah berdekatan yang sedia ada iaitu SRJKT Simpang Lima dan SRJKT Batu Empat tidak dapat menampung permintaan yang meningkat terhadap sekolah Tamil.

Kedua-dua sekolah ini mempunyai seramai 3,189 pelajar dan tidak mampu lagi menerima pelajar-pelajar baharu. Atas sebab ini, ada ibubapa yang menghantar anak-anak mereka di sekolah Tamil di Bandar Klang dan Pelabuhan Klang yang jauh dari rumah mereka.

Dengan adanya sekolah baharu, Kerajaan Negeri berharap ianya dapat mengurangkan beban kewangan ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka yang bersekolah jauh dari rumah. Sekolah yang baharu ini dijangka boleh menampung lebih 1,000 orang pelajar.

Langkah pemberian tanah ini adalah usaha peringkat kedua oleh Kerajaan Negeri dalam menaikkan taraf pendidikan di Negeri Selangor. Usaha peringkat pertama adalah peruntukan RM4 juta bagi setiap Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Kerajaan negeri amat komited dengan usaha meningkatkan taraf pendidikan negeri selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

0 comments:

top