Peratusan keluar mengundi merosot

Sejumlah 73.1 peratus atau 14,832 orang keluar mengundi apabila proses pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.

Jumlah tersebut merosot 1,971 orang atau hampir 10 peratus berbanding dengan peratusan yang keluar mengundi pada pilihanraya umum tahun lalu.

Pilihanraya umum tahun lalu menyaksikan 82.5 peratus atau 16,803 orang keluar mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengharapkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 20,290 pemilih keluar mengundi hari ini.

Mereka terdiri daripada 72.36 peratus adalah pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 5,433 undi.

Kali ini, calon PAS, Mohd Salleh Man berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman.

Mohd Salleh, 52, merupakan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang manakala Rohaizat, 38, adalah setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh.

Sehingga jam jam 4 petang tadi, 70.5 peratus atau 14,031 telah keluar mengundi. SPR mensasarkan 80 peratus pemilih akan keluar mengundi.

Pada jam 2 petang tadi, 59 peratus atau 11,979 pemilih keluar mengundi bagi menentukan ADUN baru Permatang Pasir.

Pada jam 12 tengahari, jumlah pengundian adalah 47.2 peratus atau 9,573 orang.

Manakala jumlah keluar mengundi sehingga jam 11 pagi tadi mencecah 38.9 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan perjalanan proses membuang undi setakat ini kerana menunjukkan kemajuan, lebih baik daripada hari mengundi DUN Manek Urai, awal bulan lalu.

Beliau berharap hujan tidak turun hari ini dan membolehkan sasaran 80 peratus keluar mengundi dicapai.

Tambahnya, tiada laporan mengenai kehadiran "pengundi hantu" dimaklumkan kepada suruhanjaya tersebut.

Laporan awal:

Suasana di pusat pengundian di SK Permatang Pasir panas apabila penyokong Pakatan Rakyat dan BN melaung mengejek satu sama lain.

Penyokong Umno melaungkan "Anwar pengkhianat" manakala penyokong PAS membalas dengan laungan "You jantan ke tidak".

Pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli juga kelihatan berada di situ.

Ramai anggota polis ditempatkan di semua pusat pengundian bagi mengawal penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah keluar mengundi sehingga jam 9 pagi tadi ialah 14.6 peratus atau 2,566 orang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz melawat pusat pengundian di SRJK (C) Lay Keow dan berpuashati dengan perjalanan pengundian setakat ini.

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan 39 saluran di sembilan pusat mengundi dibuka di lapan pusat pengundian mulai jam 8 pagi ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man akan mempertahankan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya dari parti tersebut, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Beliau berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman. Seramai 20,290 pemilih berdaftar layak mengundi hari ini untuk memilih wakil rakyat yang baru mereka.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top