Kerajaan Selangor kesal terhadap tindakan menghina, menghasut dan menimbulkan kemarahan di kalangan penganut agama lain yang diapi-apikan oleh segelintir pihak yang berarak membawa kepala lembu sebagai tindakan membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ketika rakyat Selangor sedang bersiap-sedia untuk menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-52, sikap tidak bertolak ansur terhadap agama orang lain yang masih wujud di kalangan segelintir warganegara Malaysia ini, sangatlah dikesali.

Menurutnya, tindakan menghina agama orang lain, menyebabkan seluruh negara ini dilihat undur ke belakang dalam usaha mewujudkan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama dan adat resam dalam kalangan penduduk pelbagai keturunan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Tan Sri Khalid berkata, usaha menyatukan penduduk, sebenarnya sudah dilakukan sejak kemerdekaan tahun 1957 lagi, demi pembinaan satu negara yang memperlihatkan persamaan visi dan identiti.

Tan Sri Khalid berharap, rakyat bersikap matang dan tidak mudah terpengaruh dengan hasutan segelintir pembantah kerana ia dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.

“Walaupun kita wajar mengecam tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini, adalah lebih baik menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan,” katanya.

Sehubungan ini, Kerajaan Negeri meminta supaya pihak polis segera mengambil tindakan secara adil dan melakukan penyiasatan, termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengugut para pemimpin Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri katanya, juga sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya mengadakan perbincangan terbuka pada Sabtu, 5 September 2009, yang dihadiri oleh penduduk sebenar Seksyen 23, pegawai-pegawai MBSA dan pegawai-pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau berkata, perbincangan itu bukan sahaja untuk mendengar luahan pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberikan peluang kepada pihak Kerajaan Negeri untuk menjelaskan fakta sebenar dan alasan yang menyebabkan keputusan menempatkan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23.

“Sementara menunggu tarikh perjumpaan itu, Kerajaan Negeri menggesa penduduk Seksyen 23 supaya bertenang dan tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh fakta-fakta yang tidak benar yang sengaja diapi-apikan oleh kumpulan yang memang berniat jahat terhadap keharmonian rakyat dan kestabilan politik Kerajaan Negeri Selangor.

“Sekali lagi, marilah kita sama-sama memelihara sikap bertimbang rasa, rasional dan saling hormat menghormati kerana inilah cara terbaik bagi menyelesaikan hal ini,” tegas beliau.


Sumber: tvselangor.com

0 comments:

top