Klang, 28 Ogos 2011 - Majlis penghargaan "A Tribute to Parents" telah diadakan oleh persatuan Bell Tamil Malaysia cawangan Sentosa pada hari ini.

Majlis yang meraikan sepuluh ibubapa teristimewa yang dipilih diadakan di Dewan Taman Klang Jaya dan dibanjiri orang ramai.

Pada majlis tersebut kesemua ibubapa yang terpilih dibawa naik keatas pentas dan diberi penghargaan oleh anak-anak masing-masing bagi menghargai jasa mereka.

YB Dr Xavier Jayakumar yang dijemput hadir ke majlis tersebut menghulurkan sumbangan RM2,000 kepada kesemua sepuluh ibubapa tersebut. Beliau berucap menegaskan kepentingan menjadi ibubapa yang bertanggungjawab, sentiasa tahu dimana anak-anak berada, bahaya keluar lewat malam dan dengan siapa anak-anak bergaul.
Rawang, 28 Ogos 2011 - Bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada para penganut agama Hindu di kawasan Sungai Bakau, satu majlis pecah tanah telah diadakan disini pada hari ini.

Majlis pecah tanah Kuil Sri Maha Mariamman tersebut telah disempurnakan oleh YB Dr Xavier Jayakumar, EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Hadir bersama-sama beliau adalah YB Gan Pei Nei, ADUN Rawang, YB William Leong, Ahli Parlimen Selayang serta Ahli Majlis, Encik Gunaran. 
Klang, 27 Ogos 2011 - Program Jom Shopping kedua DUN Seri Andalas telah diadakan di TESCO Bukit Tinggi pada hari ini.

Para peserta yang terdiri daripada warga emas hadir daftar diri pada jam 8.30 pagi di pejabat ADUN Seri Andalas dan kemudian dibawa ke TESCO menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang.

Seramai 138 warga emas yang menyertai program ini dibantu oleh sukarelawan untuk membeli-belah dan mengangkat barangan.

Selain menerima baucar RM100 untuk dibelanjakan, para peserta turut menerima 'goody bag' bernilai RM30 daripada TESCO.
Kampung Jawa, 27 Ogos 2011 - Sebanyak lapan puluh hamper telah diberikan kepada warga miskin yang menetap di sekitar kawasan DUN Seri Andalas.

Pemberian hamper tersebut diserahkan oleh YB Dr Xavier Jayakumar di dewan Kampung Jawa pada hari ini sejak pukul 4.30 petang.

Koordinator program pemberian hamper pada hari ini adalah Puan Rusnani dan Puan Patima.

Sungai Kandis, 25 Ogos 2011 - Pada hari ini YB Dr Xavier Jayakumar telah melungkan masa ke Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis untuk menyumbang sepuluh kipas siling.

Turut hadir bersama ke sekolah tersebut adalah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam, Encik Abdul Manap.

YB Dr Xavier Jayakumar berharap dengan adanya sumbangan kipas untuk diletakkan di tapak perhimpunan dan kantin sekolah akan dapat memberikan keselesaan kepada murid-murid sekolah tersebut.

Taman Sentosa, 24 Ogos 2011 - Sebagai sebahagian program sumbangan hari raya pada tahun ini, YB Dr Xavier Jayakumar bersama isterinya, Puan Sheila Devaraj telah melawat sebelas keluarga miskin di Taman Sentosa pada hari ini.

Kesemua mereka tidak pernah ke pejabat DUN sebelum ini tetapi telah dikenal pasti oleh Ketua JDM, Encik Veeran. Lawatan dari rumah ke rumah dan bertemu mereka mendapati mereka masih lagi tidak mengetahui program-program kerajaan negeri seperti Skim Mesra Usia Emas dan TAWAS.

Ini menunjukkan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan bagi menerangkan kepada mereka tentang program-program kerajaan negeri serta faedah yang dapat mereka nikmati.

Dr Xavier Jayakumar mengucapkan penghargaan kepada Encik Veeran dan Cik Mahaletchumy yang bersusah-payah mencari keluarga-keluarga miskin untuk dikenalpasti menerima sumbangan dan bantuan.
Sungai Kandis, 21 Ogos 2011 - ADUN Seri Andalas, YB Dr Xavier Jayakumar pada hari ini menjalankan program ziarah rumah ke rumah di kawasan Sungai Kandis.

Program satu hari ini meliputi agihan sumbangan hamper dan makanan dalam program beliau ke sebelas buah rumah yang terdiri daripada keluarga kurang mampu dan pada sebelah petangnya pula pemberian sumbangan air untuk berbuka puasa di perkarangan surau Sungai Kandis.

Beliau yang ditemani isterinya, Puan Sheila Devaraj dan Ahli Majlis MBSA, Encik Manap serta para sukarelawan sempat berziarah dan bertanya khabar serta masalah yang dihadapi para penduduk.

Program agihan sumbangan air di surau pula mendapat sambutan orang ramai. Program-program beramah mesra dan mengagih sumbangan akan kerap dilakukan sempena bulan Ramadhan ini.
Bukit Badak, 21 Ogos 2011 - Program Jom Kacau Dodol yang dianjurkan oleh Ranting Bukit Badak dan AJK telah diadakan di simpang masuk Kampung Bukit Badak pada hari ini.

Turut hadir pada program tersebut adalah YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja, isteri YB Dr Xavier Jayakumar, Puan Sheila Devaraj dan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang, Encik PS Rajoo dan Encik Azmi.

Sebanyak tujuh dulang dodol telah diagihkan kepada orang ramai. Program tersebut mendapat sambutan orang ramai yang sedikit sebanyak menyebabkan kesesakan lalu lintas disitu. 

Pada 12 Ogos 2011 yang lepas, perayaan tahunan telah diadakan di Kuil Muthu Mariamman yang terletak di Batu 3 1/2 Jalan Kampung Jawa, Klang.

Perayaan yang diadakan itu mendapat sambutan yang meriah daripada penduduk di kawasan tersebut walaupun hujan turun renyai-renyai.

ADUN Seri Andalas, YB Dr Xavier Jayakumar hadir bersama isterinya, Puan Sheila Devaraj memenuhi jemputan ke majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Dr Xavier mrnyentuh agar keutamaan harus diberikan pada masa sembahyang, khususnya kepada kanak-kanak dan muda-mudi supaya dapat menjauhkan diri daripada kegiatan sosial yang negatif.
Upacara perayaan Thiruvilleku Poojai telah diadakan pada 12 Ogos 2011 yang lepas di Kuil Raja Rajeswari Taman Sentosa, Klang.

Upacara perayaan ini diadakan pada bulan Ogos dan mengikut kalendar Tamil pada bulan Aadi dan pada hari Jumaat akhir minggu keempat setiap tahun.

Upacara ini dilakukan khasnya kepada golongan wanita dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Sentosa.

YB Dr Xavier Jayakumar, selaku ADUN Seri Andalas dan isterinya, Puan Sheila Devaraj telah memenuhi jemputan khas ke upacara yang diadakan.

Selangor Tubuh Pasukan Pemantau Projek Pembangunan

SHAH ALAM 16 OGOS - Kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan projek pembangunan dan pembinaan instrastuktur untuk rakyat diurus dan ditadbir dengan baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pasukan ini dianggotai oleh tenaga profesional terdiri daripada jurutera, juru ukur bahan (QS) dan pegawai teknikal yang berpengalaman, tahu latar belakang kontraktor yang dipilih serta paling penting mereka bijak menilai kos sebenar dan kepentingan sesuatu projek awam.

“Hasilnya, kita akan dapat menentukan projek diurus dengan baik. Ini memberi ‘kawalan dan imbangan” atau “check and balance’ dalam cara pemberian kontrak.

”Rakyat akan tahu setiap projek yang dilakukan setimpal dengan wang rakyat yang telah dibelanjakan,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam di Shah Alam.

Beliau berkata, pasukan profesional ini telah pun bergerak dengan memantau projek-projek pembangunan di kawasan undangan negeri menggunakan peruntukkan RM1 juta yang diberikan kerajaan negeri.
KLANG 16 OGOS - Projek Perintis Pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri telah mendapat sambutan memberangsangkan oleh penduduk Kampung Baru, Pandamaran di sini.

Proses pemilihan Ketua Kampung Baru Pandamaran berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. Rata-rata penduduk tiba di dewan pengundian seawal jam 8 pagi, dan jumlah pengundi bertambah ramai pada sebelah petang lapor Sinar Harian.

Pihak pengurusan pemilihan juga telah memanjangkan tempoh pengundian sehingga jam 4.30 petang berikutan hujan lebat, untuk membolehkan penduduk yang masih belum mengundi tiba di pusat pengundian.

Keputusan pemilihan yang diumumkan pada jam 6 petang, menyaksikan calon Low See Mee menang dengan majoriti 241 undi menewaskan lima pencabar lain. Calon tunggal wanita itu, memperoleh sebanyak 1,076 undi, manakala pencabar terdekatnya Tee Boon Hock hanya mendapat 835 undi dan selebihnya pula hilang wang pertaruhan.

Jom Shopping Seterusnya 27 Ogos 2011

Klang, 11 Ogos 2011 - Seramai 86 warga emas telah dibawa membeli belah dalam program Jom Shopping julung kalinya buat DUN Seri Andalas.

Program Jom Shopping tersebut telah diadakan di Tesco Klang. Setiap warga emas telah diberikan RM100 untuk dibelanjakan.

Seawal jam 8.30 pagi, warga emas yang menyertai program Jom Shopping telah berkumpul mendaftar dan diberi taklimat ringkas oleh YB Dr Xavier Jayakumar.

Bagi kemudahan perjalanan, perkhidamatan bas oleh Majlis Perbandaran Klang telah disediakan untuk membawa kesemua warga emas ke Tesco.

Program tersebut telah dijayakan dengan bantuan 40 orang sukarelawan yang hadir memberi bantuan kepada warga emas untuk membeli belah dan membantu membawa barangan yang telah dibeli.

Baucar RM100: Walau Nilai Kecil Tapi Amat Bermakna

KLANG 11 OGOS : Walaupun nilai RM 100.00 dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun bagi warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan, pemberian ini membawa erti yang besar kepada mereka.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar pemberian baucar kepada warga emas ini menunjukkan komitmen pentadbiran kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang diperkenalkan sejak tahun 2008.

“Bantuan RM 100 ini adalah untuk mereka (warga emas). Kita tahu bantuan ini tidaklah sebesar mana tetapi ianya sangat bermakna kepada warga emas yang kurang berkemampuan, tidak lagi bekerja dan ada di antara mereka tidak mendapat bantuan daripada anak mereka sendiri,” katanya.

Program ‘Jom Shooping’ yang diperkenalkan ini merupakan sebahagian daripada program untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang telah berdaftar dengan Skim Mesra Usia Emas, SMUE melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor, MES.

Program Berbuka Puasa di Surau Taman Bukit jati

Kampun Jawa, 6 Ogos 2011 - Bulan Ramadhan merupakan bulan yang suci bagi umat Islam dan selepas berpuasa sepanjang hari, majlis berbuka puasa diadakan di surau-surau.

Seperti kebiasaan, setiap kali Ramadhan YB Dr Xavier Jayakumar akan menyertai program berbuka puasa bersama rakyat. Menyertai program sebegini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan diantara pemimpin dan rakyat setempat malah membantu memahami keperluan rakyat yang diwakili.
Pada 6 Ogos yang lepas, Dr Xavier Jayakumar sempat menyertai majlis berbuka puasa yang diadakan di surau Taman Bukit Jati, Kampung Jawa. Turut menghadiri majlis tersebut adalah YB Dr Siti mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja.

Shah Alam, 7 Ogos 2011 - Lebih 1,000 peserta dari kuil-kuil Hindu seluruh negeri Selangor hadir berkongres di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, Shah Alam pada hari ini.

Program sehari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu dihadiri ketua-ketua kuil Hindu Selangor.

Pengisian program termasuklah taklimat oleh YB Dr Xavier Jayakumar serta dialog bermanfaat dan berguna kepada kesemua peserta yang hadir.

Hadir pada kongres tersebut YB Ronnie Liu, serta penceramah, Encik Muthukumara Gurkal.

Pengerusi-pengerusi kuil turut diberikan peluang untuk berucap dan berkongsi idea dengan kesemua peserta.
Kuala Selangor, 6 Ogos 2011 - Kerajaan Negeri Selangor telah menyumbang RM1,532,700 bagi menampung yuran kemasukan 234 orang pelajar-pelajar baru ke Kolej Inpens. Sumbangan ini merupakan pembiayaan sepenuhnya untuk yuran akademik dan hostel termasuk wang saku.

Sumbangan ini telah diberi kepada 101 pelajar Melayu, 100 orang pelajar India dan 33 orang pelajar Cina.

Satu majlis penyampaian surat tawaran kemasukan telah diadakan di kampus kolej Inpens di Kuala Selangor yang telah disempurnakan oleh YB Dr. Xavier Jayakumar EXCO Kerajaan Negeri Selangor

Majlis turut dihadiri oleh Hajjah Noraini Bte Roslan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor serta pengurusan dan tenaga pengajar Kolej Inpens.
 
SHAH ALAM 7 OGOS : Rakyat di negeri Selangor diingatkan supaya memanfaatkan peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan ekonomi masing-masing melalui skim-skim pinjaman dan perniagaan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri memperuntukan sejumlah RM 70 juta sebagai kemudahan pinjaman melalui Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) dan Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR).

“Mereka yang mempunyai niat untuk berniaga atau menceburi bidang keusahawanan bermula daripada kecil-kecilan, boleh berbincang dengan kakitangan di pejabat-pejabat daerah atau pejabat dun masing-masing untuk mendapatkan maklumat,” katanya pada majlis Ihya Ramadhan 1432H Meraikan Anak-anak Yatim, Ibu Tunggal dan Fakir Miskin di ‘Bukit Megawati’ Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor.

Beliau menambah, barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha dengan lebih tekun dalam usaha membawa kejayaan kepada Selangor dengan semangat ‘Selangorku’ agar segala hasil yang diperolehi dapat dikembalikan kepada seluruh rakyat untuk dikongsi bersama.

MPK Didik Peniaga Mesra Alam

KLANG, 5 Ogos: Bagi menyahut kempen `Ramadhan yang Mapan’, MPK telah melancarkannya di Bazar Ramadhan Taman Seri Andalas, Klang.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Turut hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut adalah Dr Xavier Jayakumar selaku Adun Seri Andalas.

Dalam majlis pelancaran tersebut, diperkenalkan kepada para peniaga usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi alam sekitar seperti mengitar semula, menggurangkan penggunaan beg plastik, menjaga kebersihan dan juga mengumpul minyak masak.
Pada 30 Julai yang lepas, bertempat di Teluk Menegon, sebanyak RM58,600 sumbangan telah diagihkan kepada surau, masjid, Sekolah Agama Rakyat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Penduduk dalam kawasan DUN Sri Andalas.

Sumbangan telah diserahkan kepada para penerima oleh YB Dr Xavier Jayakumar yang merupakan ADUN Sri Andalas.

Majlis dihadiri oleh Puan Sheila Devaraj, wakil PEKAWANIS, Encik Azmi Bin Jusoh, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang, Ketua-ketua Kampung, para pemimpin setempat serta wakil-wakil penerima masing-masing.

Sumbangan sebanyak RM58,600 tersebut adalah hasil sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM38,200, ADUN Sri Andalas sebanyak RM17,400 dan PEKAWANIS (Persatuan Isteri ADUN dan Ahli Parlimen) sebanyak RM3,000.

Selangor Regrets Raid, Ask JAIS for a Report

PRESS STATEMENT
AUGUST  4, 2011
SELANGOR REGRETS RAID, ASK JAIS FOR A REPORT


The State Government views seriously the incident where the police and JAIS raided a multi-racial dinner at the Damansara Utama Methodist Church in Petaling Jaya last night.

Menteri Besar Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim has called Senior Pastor Daniel Ho to personally express his regrets regarding the incident.

“I told him that the state has instructed JAIS to provide a full report detailing the incident, including their justifications for their actions that night. I hope to meet the pastor again once the report is completed,” said the Menteri Besar.

The Menteri Besar assures the people of Selangor that the state government fully respects freedom of religion and the rights of religious groups to manage their affairs.

He also repeated that the state is always open to engagement and dialogue regarding the harmonious and mutually respectful coexistence of different religious communities, and appreciates the efforts of all who seek to build a more united society.

PRESS SECRETARIAT
OFFICE OF SELANGOR MENTERI BESAR
SHAH ALAM 4 OGOS : Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)  bersetuju menubuhkan satu geran untuk membiayai usaha-usaha memfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  terhadap senarai daftar pengundi  baharu yang meragukan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim , Kerajaan Negeri  memandang serius aduan-aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi yang sedia ada dan senarai daftar pengundi baharu.

“Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negara jiran yang mendapat taraf permaustatin tetap dan disenarai sebagai pengundi  amat merungsingkan dan perlu diselesaikan dengan segera.

"Kerajaan Selangor berpandangan bahawa rakyat mempunyai hak untuk  menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka jalan kepada satu pilihan raya yang bersih dan adil,"kata Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco semalam.

Exco Selangor : Bekalan Air Cukup

SHAH ALAM 3 OGOS :  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor berkata bekalan air mencukupi sehingga 2019 untuk pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dan menolak kenyataan yang mengatakan akan berlaku krisis air sebagai mengelirukan dan tidak tepat.

Menurut Elizabeth kenyataan ini terlalu bergantung kepada Kajian Sumber Air Nasional (NWRS) yang dilakukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2000.

“Perlu diingat bahawa anggaran NWRS per kapita keperluan air tidak didasarkan pada Design Guidelines for Water Supply Systems  yang dihasilkan Persatuan Air Malaysia seperti kita fahami.

Sebaliknya, mereka menggunakan “Pendekatan Keperluan Air” yang didasarkan pada unjuran pertumbuhan KDNK nasional yang berubah mengikut pasaran ekonomi global yang tidak stabil sejak krisis ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi Malaysia,” katanya.
SHAH ALAM 3 OGOS: Pakatan Rakyat mencadangkan agar kerajaan persekutuan mencontohi pendekatan ekonomi yang dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang sekiranya berhasrat mengurangkan defisit belanjawan negara.

Mengambil contoh negeri Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, negeri itu tidak mencatatkan sebarang defisit berikutan jumlah hutang yang berjaya dikurangkan selain membelanjakan keuntungan yang diperoleh daripada syarikat-syarikat kerajaan negeri.

Abdul Khalid yang ditemui pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak telah mula mencontohi corak perbelanjaan yang digunapakai negeri Selangor.

Namun beliau menasihati agar perbelanjaan diuruskan dengan cara lebih berhemah selain mengurangkan penggunaan wang pembayar cukai.
PAS mendakwa telah mengesan lebih 1,000 penduduk tetap (PR) di Selangor, yang telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih yang layak mengundi, dan ini, menurut parti itu, mengukuhkan dakwaan bahawa masalah itu mungkin lebih daripada setakat 'kecuaian teknikal' Jabatan Pendaftaran Negara.

Selepas mengenalpasti kehadiran orang asing dalam senarai pemilih yang yang pengundi di Selangor, badan pemantau pilihan raya Pemuda PAS negeri itu, menggesa ahli di negeri-negeri lain supaya meneliti daftar tambahan pengundi yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya itu (EC) di kawasan masing-masing.

"Di Selangor ada lebih kurang 1,100 nama penduduk tetap (PR) ini sedang dibantah oleh pihak PAS negeri dan PAS negeri-negeri lain juga diharapkan dapat meneruskan bantahan yang serupa," kata pengarah jabatan pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzah.

Kota Raja Kenalpasti Lebih Pengundi 'Import'

PAS mengenalpasti lebih 100 lagi nama didaftarkan sebagai pengundi di kawasan parlimen walaupun tidak menetap di situ, dakwa anggota parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.

"Kami akan pergi ke Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membantah lebih kurang 100 nama hari ini atau esok, kerana kami memerlukan masa untuk memanggil semua membantah bersama-sama," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, mereka pada awalnya menemui 1,000 nama, kebanyakannya orang Sabah, yang berdaftar sebagai pengundi baru di Kota Raja.

Bagaimanapun, selepas semakan oleh kakitangan Pakatan Rakyat di sekitar kawasan tersebut, mereka menemui sebahagian daripada mereka benar-benar penduduk setempat.

PAS bagaimanapun terus mempersoalkan penempatan semula melibatkan jumlah yang ramai dari kawasan lain dan kenapa mereka mahu menukar kawasan mengundi ke Kota Raja.
top