Exco Selangor : Bekalan Air Cukup

SHAH ALAM 3 OGOS :  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor berkata bekalan air mencukupi sehingga 2019 untuk pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dan menolak kenyataan yang mengatakan akan berlaku krisis air sebagai mengelirukan dan tidak tepat.

Menurut Elizabeth kenyataan ini terlalu bergantung kepada Kajian Sumber Air Nasional (NWRS) yang dilakukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2000.

“Perlu diingat bahawa anggaran NWRS per kapita keperluan air tidak didasarkan pada Design Guidelines for Water Supply Systems  yang dihasilkan Persatuan Air Malaysia seperti kita fahami.

Sebaliknya, mereka menggunakan “Pendekatan Keperluan Air” yang didasarkan pada unjuran pertumbuhan KDNK nasional yang berubah mengikut pasaran ekonomi global yang tidak stabil sejak krisis ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi Malaysia,” katanya.

Elizabeth menjelaskan fakta penting yang perlu diberi perhatian ialah  anggaran NWRS untuk Selangor dan Kuala Lumpur antara  500-1,224 liter per kapitan sehari pada 2010, berbanding dengan penggunaan air per kapita sehari dilaporkan untuk bandar-bandar utama dunia seperti Singapura 328 liter, Sydney 214 liter, dan New York 420 liter.

“Kapasiti loji rawatan air sedia ada sepatutnya cukup untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat.  Tambahan, kerja-kerja naik taraf loji ini sudah dilakukan dan dijangka selesai tidak lama lagi.

Jika pun ada krisis, masalah yang perlu di beri perhatian adalah Non-Revenue Water dimana di Selangor ianya sangat tinggi pada tahap 30%. Syabas sehingga kini belum lagi menurunkan tahap NRW ke tahap yang boleh diterima,” katanya.

Tambah Elizabeth, Selangor juga mahu mempromosikan pemuliharaan air dan menggalakkan penggunaan yang bijaksana, kitar semula air, pengumpulan dan pemeprosesan air hujan, menurunkan kadar NRW dan meneroka sumber air alternatif.

Kerajaan Selangor tetap berpendirian bahawa isu air boleh diselesaikan jika semua pihak memberi tekanan kepada kerajaan Pusat untuk menyelesaikan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air.Jika isu ini tidak diselesaikan terlebih dahulu, pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat tidak dapat dilaksanakan.

“Dua bulan lalu, Kerajaan Negeri telah bertemu dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui. Formula untuk selesaikan penstrukturan semula industri air adalah jelas dan kita berharap Menteri tidak melenggahkan masa atau menunda isu ini,” katanya.


Sumber: SelangorKini

0 comments:

top