Pemilihan JKKK Capai Matlamat

KLANG 16 OGOS - Projek Perintis Pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri telah mendapat sambutan memberangsangkan oleh penduduk Kampung Baru, Pandamaran di sini.

Proses pemilihan Ketua Kampung Baru Pandamaran berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. Rata-rata penduduk tiba di dewan pengundian seawal jam 8 pagi, dan jumlah pengundi bertambah ramai pada sebelah petang lapor Sinar Harian.

Pihak pengurusan pemilihan juga telah memanjangkan tempoh pengundian sehingga jam 4.30 petang berikutan hujan lebat, untuk membolehkan penduduk yang masih belum mengundi tiba di pusat pengundian.

Keputusan pemilihan yang diumumkan pada jam 6 petang, menyaksikan calon Low See Mee menang dengan majoriti 241 undi menewaskan lima pencabar lain. Calon tunggal wanita itu, memperoleh sebanyak 1,076 undi, manakala pencabar terdekatnya Tee Boon Hock hanya mendapat 835 undi dan selebihnya pula hilang wang pertaruhan.

See Mee ketika ditemui selepas diumumkan sebagai pemenang semalam berkata, beliau gembira dengan keputusan itu biarpun ia hanya projek perintis.

Difahamkan, seramai 2,657 penduduk Kampung Baru Pandamaran keluar mengundi, semalam dan sebanyak 25 undi rosak diperoleh dalam pemilihan kali ini.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri berpuas hati dengan perkembangan proses demokrasi berkenaan.

“Kita berpuas hati dengan penerimaan penduduk berhubung pemilihan pemimpin di kawasan mereka.

“Rata-ratanya tidak mempunyai masalah dengan konsep pemilihan yang serupa dengan pilihan raya ini yang dibuktikan dengan jumlah penduduk yang keluar pada hari ini (semalam), katanya kepada media.

Beliau sebelum itu, hadir melawat proses pemilihan yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula keseluruhan laporan mengenai pemilihan ketua kampung dan JKKK ini untuk dilaksanakan di semua kawasan di Selangor.

“Kita akan lihat semula sama ada projek perintis ini mampu untuk dilaksanakan di seluruh kampung di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, melalui kaedah itu, ia mampu menggalakkan penduduk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam isu-isu masyarakat setempat.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 ribu bagi mengendalikan pilihan raya JKKK di tiga kampung merangkumi Kampung Baru Sungai Jarum di Kuala Langat, Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang.

Ketiga- tiga kampung itu dipilih sebagai projek perintis bergantung kepada saiz kepadatan penduduknya.

Selangor mempunyai 368 kawasan perkampungan Melayu dan 78 kawasan perkampungan Cina. Pemilihan Pengerusi JKKK itu sama seperti pilihan raya biasa yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen seperti wujudnya pengeluaran writ, hari penamaan calon, RM500 deposit semasa kempen, waktu pengundian, keputusan, serta petisyen bantahan.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top