Program Mesra Rakyat Ampang

Ampang, 26 Jun 2011 - Seramai 600 orang telah menghadiri Program Mesra Rakyat yang diadakan di Ampang.

Pada program tersebut, seramai 300 orang dari golongan miskin telah diberikan sumbangan hamper makanan.

Hadir pada program tersebut, YB Dr Xavier Jayakumar dan YB Kassin. Dalam ucapan masing-masing, mereka menyentuh mengenai beberapa perubahan yang dibawa pentadbiran Pakatan Rakyat di Negeri Selangor.

Turut diadakan, program mendaftar Skim Mesra Usia Emas (MUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan program kesihatan. Sambutan daripada mereka yang hadir sungguh memuaskan.
Morib, 26 Jun 2011 - Mar Thoma Surian Church di Morib, Banting hari ini meraikan sambutan Platinum Jubilee Centenary. 

Gereja tersebut merupakan gereja pertama marthoma Syrian yang menyambut ulang tahun ke-75. 

Majlis penghargaan telah diadakan untuk mereka yang telah lama berkhidmat untuk negara sejak hadir ke sini dari Kerala, India. Penghargaan turut diberikan kepada warga tua yang hadir.

Ucapan telah diberikan oleh YM - Mes dan didengar oleh lebih 700 hadirin yang datang dari Banting, Klang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur untuk meraikan sambutan ini.

Peruntukkan RM35,000 telah dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk gereja. 
Kg Jawa, Klang, 25 Jun 2011 - Seramai 110 daripada 170 murid hadir untuk program motivasi UPSR hari ini yang diadakan di SRJK (T) Batu Ampat, Kg Jawa, Klang.

Program tersebut yang diadakan untuk mempersiapkan murid-murid untuk menghadapi UPSR turut melibatkan ibubapa apabila mereka dijemput hadir untuk mengambil buku laporan peperiksaan anak masing-masing di akhir program.

YB Dr Xavier Jayakumar telah hadir bagi menyerahkan bantuan Kerajaan Negeri kepada sekolah tersebut yang kesemuanya berjumlah RM32,810 hari ini. Antara bantuan yang diserahkan adalah bantuan infrastruktur sebanyak RM20,000 yang diperuntukkan untuk membeli kerusi dan meja. 

Sebanyak RM5,310 diberi untuk yuran sekolah yang merupakan subsidi untuk murid-murid miskin sebanyak RM30 seorang.

Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan wang untuk setiap PIBG sekolah Tamil, dan sumbangan RM7,500 telah diserahkan kepada pihak PIBG.
SHAH ALAM 20 Jun – Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan satu dana khas berjumlan RM 5 juta untuk pembangunan pendidikan dan modal insan anak-anak kakitangan kerajaan negeri.

Menteri Besar Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri membuat keputusan tersebut supaya anak-anak kakitangan kerajaan yang memerlukan bantuan kewangan untuk menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ada peluang untuk mendapatkan pembiayaan yang sepatutnya.

“Pendidikan dan modal insan adalah amat penting kepada kerajaan negeri dan kami mahu pastikan anak-anak kakitangan membesar dengan sempurna kerana ini akhirnya akan membantu membentuk negeri yang maju dan berdaya saing.

“Ini juga adalah tanda penghargaaan kami kepada warga kerga kerajaan negeri yang banyak berkorban membantu kerajaan menjalankan pentadbiran yang cekap, telus, berhemah dan berkesan,” kata Menteri Besar.
MORIB, 20 Jun : Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang sudah dilaksana di lapan daripada sembilan daerah di Selangor telah memperlihatkan hasil positif bagi menjayakan misi kerajaan negeri dalam menjayakan pembangunan insan.

Program ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat di mana penganjuran karnivalnya diadakan.

Menurut EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, masalah keruntuhan akhlak dan keruntuhan sosial yang melanda masyarakat terutama dalam kalangan remaja memerlukan pendekatan baru bagi ditangani.

Jadi perlaksanaan program GeMS diharap dapat memenuhi kehendak golonganremaja dalam mencorak kehidupan sosial anak anak.
Meru, 19 Jun 2011 - YB Dr Xavier Jayakumar pada hari ini telah menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang yang telah diadakan di Dewan MPK, Pekan Meru.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah Kem Kesihatan dan Kempen Zon Bersih. Majlis dirasmikan oleh YB Dr Hj. Abd Rani Osman, ADUN Meru, penutupan rasmi oleh YB Dr Xavier Jayakumar dan dihadiri oleh pegawai dari pejabat daerah dan ahli majlis MPK.

Majlis yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari tersebut dipenuhi orang ramai yang menyaksikan seramai 152 orang pelajar PMR dan SPM 2010 yang mendapat keputusan 8A dan keatas menerima sijil kecemrlangan dan hadiah.

Seramai 20 keluarga miskin yang terdiri dari pelbagai bangsa turut menerima hamper barangan.
Serendah, 18 Jun 2011 - Kerajaan Negeri Selangor dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat pada hari ini telah menyerahkan geran tanah kepada Kuil Selva Vinayagar di Serendah.

Hadir menyerahkan geran tanah tersebut adalah YB Dr Xavier Jayakumar, Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Serbaguna Serendah, Kampung Dato' Harun dan dihadiri para pemimpin komuniti setempat.

Selain penyerahan geran tanah, Dr Xavier Jayakumar turut menyampaikan raket badminton dan bola sepak kepada kanak-kanak serta hamper barangan kepada warga emas.
Kampung Jawa, 18 Jun 2011 - Sebuah majlis bagi menghargai pelajar-pelajar cemerlang SPM dari kawasan DUN Seri Andalas dan juga memberi sumbangan kepada pelajar miskin, warga emas serta sumbangan kepada sekolah dan persatuan penduduk telah diadakan.

Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Jawa, Klang dan dihadiri oleh YB Dr Xavier Jayakumar, ADUN Seri Andalas yang juga merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja, Encik PS Rajoo, Ahli Majlis MPK, Ketua Kampung dan juga para pemimpin komuniti setempat.

Seramai 45 orang pelajar miskin telah menerima sumbangan cermin mata yang telah disampaikan oleh Encik PS Rajoo.

Seramai 65 orang warga emas pula telah diberi subsidi cermin mata yang disampaikan oleh YB Dr Xavier Jayakumar.

SELAYANG 18 JUN : 84 keluarga setinggan di Kampung Kok Doh di Bandar Baru Selayang hari ini menerima saguhati pemindahan dan bantuan perumahan daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan projek perumahan Bukit Botak dimulakan.

Kampung Kok Doh merupakan sebuah perkampungan yang terletak bersebelahan Kampung Bukit Botak dan merupakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini turun menyerahkan saguhati berjumlah RM 483,800 kepada keluarga yang terbabit dalam perpindahan itu.

Meskipun komited dalam memastikan pembangunan di kawasan setinggan Bukit Botak yang menjadi penantian hampir 20 tahun penghuninya, namun kerajaan negeri tidak sesekali mengabaikan mereka yang turut terkena tempias akibat projek terbabit.
SHAH ALAM 18 JUN : Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha menjadikan negeri ini sebagai hab ilmuan atau pendidikan untuk mencapai visi menjadi sebuah negeri idaman, maju, sejahtera serta berkebajikan.

Justeru penganjuran Hari Ilmu Negeri Selangor 2011 pada 26 Jun nanti adalah inisiatif serta langkah kritikal kerajaan negeri bagi memastikan ilmu itu dimartabatkan di tahap tertinggi.

Dalam satu tembubual eksklusif krew TV Selangor dan Selangor Kini bersama Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, beliau menjelaskan Hari Ilmu Selangor yang dianjurkan sejak tahun lepas menerima sambutan menggalakkan malah berjaya mengumpulkan kira-kira 15,271 pembaca berdaftar menerusi program Gerakan Membaca Perdana.

"Tahun ini kita melangkah satu tahap ke hadapan di mana kita berjaya mencetuskan budaya membaca sedikit sebanyak di kalangan rakyat Selangor. Apa yang kita perlukan sekarang adalah kita memerlukan bahan bacaan untuk dibaca dan bahan-bahan itu bercirikan tempatan. Kita mahu rakyat di Selangor dan Malaysia menulis supaya hasil karya mereka ini boleh memberi manfaat kepada rakyat Selangor dan Malaysia amnya,"katanya.

Perlantikan Noraini Bukti Selangor Iktiraf Wanita

Kenyataan Media YB Puan Rodziah Ismail

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Noraini Roslan yang baru dilantik menjadi Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Selangor (MKDS) berkuatkuasa 1 Julai 2011. Saya berkeyakinan beliau mampu memikul tanggungjawab ini dengan cemerlang berasaskan pengalaman luasnya selama lebih 20 tahun sebagai pengarah perancang beberapa pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Perlantikan Puan Noraini sebagai YDP MDKS ini adalah selari dengan hasrat dan sasaran Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan 30% wanita terlibat dalam proses pembuatan keputusan di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Setelah sasaran ini kita realisasikan sejak 2008 dalam barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor yang mana 30% daripadanya terdiri daripada wanita, kita berharap hasrat ini akan dapat kita laksanakan pula dalam pelbagai peringkat pentadbiran kerajaan negeri. Pelantikan Puan Noraini ini mudah-mudahan menjadi permulaan dan pembuka jalan kepada lebih ramai lagi golongan profesional dalam kalangan wanita yang akan terlibat dalam struktur pentadbiran kerajaan negeri pada masa akan datang.

MB: Task Force Felda Selangor Bantu Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 15 Jun – Dalam usaha Kerajaan Negeri membela nasib peneroka yang telah sekian lama ditekan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan pelbagai masalah hak milik tanah serta pemberian pendapatan khususnya di Selangor satu Jawatankuasa Khas Felda Negeri Selangor ditubuhkan.

Jawatankuasa yang terdiri daripada pakar perundangan ini bernaung dibawah Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong serta mendapat kerjasama penuh dari Shamsul Iskandar Md Akin selaku pengerusi.

Melalui jawatankuasa terbabit juga satu Majlis Dialog-Diskusi berhubung Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960 diadakan di Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor.

Mengulas lanjut berhubung pemmbentangan kertas kerja GSA 1960, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia merupakan hasil kajian yang dilakukan oleh pasukan khas bagi menasihati kerajaan negeri Selangor mengenai langkah yang boleh diambil untuk membela masyarakat Felda di negeri itu.
 
SEPANG 11 JUN : Rakyat Selangor diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan berita yang disiarkan sesetengah akhbar tempatan masa kini terutamanya laporan berkaitan permasalahan yang timbul di negeri ini kerana sebilangan besarnya adalah rekaan semata-mata.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, pelbagai usaha dilakukan oleh media kawalan Umno-BN untuk mengaburi mata rakyat termasuklah isu status tanah di Sungai Buloh dan Hulu Selangor. 

Menurut Xavier, isu Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Kampung Sungai Kerandang dan tapak semaian bunga di Sungai Buloh akan terus disensasikan untuk membohongi rakyat. 

Justeru itu katanya kerajaan negeri akan bertindak mendedahkan nama pihak yang bertanggungjawab menyerahkan tanah berstatus TOL itu untuk didiami dan diusahakan memandangkan ia adalah hak milik kerajaan negeri.

"Kita tidak ada tanah lagi di Selangor. Kalau kita tidak pertahankan tanah-tanah yang ada sekarang khususnya tanah hutan yang cuma tinggal 30 peratus sahaja lagi, kita akan berhadapan dengan masalah pada masa akan datang," katanya dalam ceramah perdana 'Agenda Negeri Selangor', dekat sini malam tadi. 

MB: Aset Sebenar Air Selangor RM12 bilion

SEPANG, 11 Jun — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan aset air di Selangor sebenarnya bernilai RM12 bilion dan rakyat akan terus menikmati pemberian bekalan 20 meter padu air percuma setiap bulan selagi Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan pimpinannya sudah melakukan penyelidikan mengenai nilai sebenar aset air ekoran kegagalan pentadbiran BN menentukan nilai yang tepat semasa mereka memerintah negeri itu selama lima dekad.

“Kita  memperuntukkan sebanyak RM760,000 untuk mengkaji nilai aset air di Selangor dan saya sudah dimaklumkan nilai sebenar aset air kita berjumlah RM12 bilion yang mana sebelum ini BN mengatakan ia bernilai RM1 bilion sahaja.

Inilah silap besar BN, mereka salah kira tapi kita tidak… kita semak balik, pening juga kita, dengan jumlah yang ada ini kalau kita jual RM1 bilion aset air ini rakyat boleh mendapat air percuma lebih daripada lapan tahun,” katanya pada ceramah perdana Agenda Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi di sini.
SEPANG 11 Jun -  Rakyat yang menghadapi masalah menjelaskan bayaran premium tanah akan dibantu kerajaan negeri demi memastikan rakyat di Selangor memiliki rumah sendiri.

Kerajaan negeri menetapkan bayaran serendah RM1,000 bagi penyelesaian isu itu dan bagi mereka yang masih tidak mampu berbuat demikian, mereka boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kemudiannya akan membantu individu tersebut menjelaskan bayaran premium berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri prihatin dan menyedari terdapat sebahagian rakyat di negeri ini menghadapi masalah menjelaskan bayaran premium yang tinggi bagi pemilikan tanah.

Ekoran itu katanya kerajaan negeri  membuat keputusan rakyat yang diberikan hak pemilikan tanah boleh membayar premium tersebut dengan bayaran minima sebanyak RM1,000.

Bagi mereka yang masih tidak dapat menjelaskan bayaran RM1,000 itu, katanya, bantuan menerusi JKM akan diberikan dengan syarat golongan tersebut perlu menjalankan tugas kemasyarakatan yang akan ditetapkan mengikut keperluan.
SHAH ALAM 9 JUN : Kerajaan Selangor menyampaikan bantuan RM6 juta kepada sekolah agama, sekolah Cina dan sekolah Tamil di negeri ini di bawah fasa pertama untuk memantapkan prestasi sekolah-sekolah berkenaan.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM16 juta yang diluluskan kerajaan negeri untuk tahun ini, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali.

Peruntukan itu akan disalurkan menerusi Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di kesemua 56 DUN Selangor untuk diserahkan kepada sekolah-sekolah terbabit. 

Dr Halimah Ali menyarankan Adun-Adun dan Pusat Khidmat Masyarakat  menyampaikan maklumat berhubung peruntukan tersebut disamping membantu menguruskan permohonan untk mend apatkan peruntukan itu.

“Pihak Adun dan Pusat Khidmat juga diminta untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima bantuan pembangunan pendidikan daripada kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Biasiswa Selangor Merentasi Perkauman

SHAH ALAM 8 JUN : Biasiswa Pelajaran oleh Yayasan Selangor diberikan tanpa mengira kaum dan agama namun kaum Cina dan India kurang memberi sambutan kepada bantuan itu berbanding kaum Melayu. 

Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menafikan dakwaan MIC dan MCA kononnya kerajaan negeri dan Yayasan Selangor menimbangkan latar belakang agama dan kaum dalam memberikan biasiswa itu. 

Beliau menjelaskan rekod pengambilan pinjaman pelajaran bagi tahu 2000 hingga 2011 menunjukkan pelajar bukan bumiputera iaitu Cina dan India tidak membuat permohonan pinjaman dengan Yayasan Selangor sebaliknya membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinngi Nasional (PTPTN) yang menawarkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi.

"Pada tahun 2011, Yayasan Selangor mendapat 350 permohonan daripada bumiputera, daripada jumlah itu 227 ditawarkan pinjaman kerana yang lain tidak menepati syarat dan sebagainya. Daripada 227 hanya 142 yang menerima tawaran.

Pesta Hari Pekerja Daerah Kuala Selangor 2011

Kuala Selangor, 4 Jun 2011 - Lebih 1,300 hadir meraikan Hari Pekerja di stadium tertutup Kuala Selangor pada hari ini. 

Antara tetamu kehormat yang hadir dan memberikan ucapan adalah YB Dr Xavier Jayakumar, YB Ng Sue Lim dan Pegawai Daerah Kuala Selangor. Majlis ini telah dianjurkan dan dibiaya sepenuhnya dibawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama pihak Majlis Daerah Kuala Selangor.
Antara program yang diadakan pada hari ini adalah pemberian hadiah kepada para pemenang bagi sukaneka yang telah diadakan pada 22 Mei dan 29 Mei yang lepas. Sukaneka tersebut telah dianjurkan di tujuh zon di seluruh daerah Kuala Selangor iaitu Ladang Selangor River, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Raja Musa, Ladang Tennarom, Ladang Bukit Panjang, Ladang Taman Rajawali dan Ladang Tuan Mee. Pada hari sukaneka tersebut, permainan bolasepak 9 sebelah, sepak takraw, bola jaring, kabadi untuk lelaki dan perempuan turut dipertandingkan.
SHAH ALAM 4 JUN - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyeru orang ramai untuk menandatangani petisyen membantah kelewatan projek Hospital Shah Alam yang sehingga kini gagal disiapkan oleh pihak pemaju.

Orang ramai boleh menandatangai petisyen bantahan kelewatan itu melalui online di alamat seperti berikut: http://www.khalidsamad.com atau di  http://www.petisyen.com

Dalam petisyen bantahan itu menyatakan perasaan amat dukacita atas terbengkalainya projek pembinaan Hospital Shah Alam selama satu tahun tanpa adanya penyelesaian hingga ke hari ini.

Semenjak projek ini dihentikan pada Jun 2010, dimaklumkan bahawa ianya akan ditender kembali melalui proses tender terhad di mana kontraktor-kontraktor berwibawa sahaja akan dijemput dan projek ini akan dimulakan kembali paling lewat pada Mac 2011.

“Sekarang, kami dimaklumkan bahawa tender telah pun dipanggil dan sebut harga dari 6 kontraktor yang dijemput telahpun diterima tetapi tender berkenaan dibatalkan dan tender baru akan dipanggil. Ini dengan sendirinya bermakna bahawa projek Hospital Shah Alam akan terbengkalai untuk tempoh paling kurang 10 bulan lagi sebelum ianya dimulakan kembali,” menurut petisyen bantahan itu.
SHAH ALAM 4 JUN : Kerajaan Selangor akan membina lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk memberi keselesaan  hidup kepada rakyat.

Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk pembinaan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri.

Khalid berkata, setakat ini kerajaan negeri telah mengenal pasti enam lokasi untuk pembinaan perumahan mampu milik iaitu di Bangi, Antara Gapi dan Kota Puteri di Kuala Selangor, Taman Sains Selangor 2, Bernam Jaya dan Gombak.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pecah tanah projek perumahan mampu milik di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, semalam.
Kurang sehari selepas rundingan dengan kerajaan negeri Selangor, pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd semalam menyerbu kawasan PJS1 dan memusnahkan dua rumah panjang yang dihuni oleh tiga keluarga.

Pemaju yang dilengkapi dua jentolak dan diiringi sekumpulan polis tiba pada jam 2.30 petang semalam dan terus mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah mereka dengan segera.

Di sebalik rintihan dan rayuan penduduk, pemaju dengan disaksikan pihak polis terus merobohkan rumah pertama yang dihuni oleh sebuah keluarga golongan kurang upaya pada jam 4 petang.

Hujan lebat juga gagal menghalang pihak pemaju bertindak meranapkan rumah kedua sejam kemudian.

Penduduk hanya diberikan secukup masa untuk mengeluarkan barangan mereka sementara pekerja pemaju itu terus memusnahkan tingkap rumah mereka.

Kerja-kerja meroboh sebelum ini berjaya ditangguhkan selepas ahli majlis MBPJ Latheefa Koya campur tangan dengan mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi.
1. YAB Tan Sri Dato’ Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim, Menteri Besar Selangor mengarahkan YB Datuk Mohd Khusrin Munawi,  Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk “mengambil semula tanah” di Projek Pangsapuri PJS1 serta-merta ekoran keengganan pemaju Peter’s Brickworks Sdn  Bhd untuk mematuhi arahan Kerajaan Negeri untuk “stop work order” (pembekuan kerja pembangunan) di atas projek tersebut.

2. Arahan “stop work order” telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 30 Mei 2011 tetapi sebaliknya pada keesokan harinya Pemaju bersama Bailiff mahkamah berserta dengan 20 orang anggota polis bertegas untuk melaksanakan proses pengusiran dan perobohan rumah 2 orang penghuni rumah panjang tersebut.

3. Kerajaan Negeri berpendapat bahawa polisi ‘sifar setinggan’ yang dilaksanakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan BN sebelum ini gagal menyelesaikan permasalahan setinggan secara holistik.

4. Kerajaan Negeri juga berpendapat tindakan Pemaju melaksanakan tindakan perobohan 2 unit rumah panjang tersebut pada HARI INI  jelas menunjukkan keangkuhan Pemaju melanggar arahan Kerajaan Negeri.

5. YB Setiausaha Kerajaan Negeri seterusnya melalui Pejabat Daerah dan Tanah Petaling akan menyiapkan dokumen bagi pengambilan semula tanah tersebut seperti yang diperuntukan oleh Kanun Tanah Negara.

YB Dr. Xavier Jayakumar                                              
Ahli Exco Kerajaan Negeri  Selangor
Tarikh : 3 Jun 2011, Jumaat, 6.15 petang
Shah Alam, 31 Mei 2011 - Satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Dr. Xavier Jayakumar, EXCO Negeri Selangor telah diadakan di bangunan SSAAS Shah Alam bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah pemberhentian 9 orang pekerja estet tersebut ekoran penjualan estet tersebut yang terletak di Semenyih, Selangor.

Pihak estet  diwakili oleh beberapa orang pegawai pengurusan syarikat Inch Kenneth Rubber Plantation manakala pihak pekerja ladang di wakili oleh S. Arutchelvam dari NGO Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Pihak pekerja menuntut agar diberikan pampasan dan pembayaran ex-gratia yang setimpal kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan. Turut dibangkitkan ialah kemudahan penyediaan perumahan bagi pekerja-pekerja terlibat.   

Dr Xavier yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang Negeri Selangor menyarankan agar kedua-dua belah pihak mengadakan perbincangan selanjutnya bagi mendapatkan keputusan dan situasi 'menang-menang' bagi kedua-dua belah pihak. 
top