SHAH ALAM 9 JUN : Kerajaan Selangor menyampaikan bantuan RM6 juta kepada sekolah agama, sekolah Cina dan sekolah Tamil di negeri ini di bawah fasa pertama untuk memantapkan prestasi sekolah-sekolah berkenaan.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM16 juta yang diluluskan kerajaan negeri untuk tahun ini, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali.

Peruntukan itu akan disalurkan menerusi Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di kesemua 56 DUN Selangor untuk diserahkan kepada sekolah-sekolah terbabit. 

Dr Halimah Ali menyarankan Adun-Adun dan Pusat Khidmat Masyarakat  menyampaikan maklumat berhubung peruntukan tersebut disamping membantu menguruskan permohonan untk mend apatkan peruntukan itu.

“Pihak Adun dan Pusat Khidmat juga diminta untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima bantuan pembangunan pendidikan daripada kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Bagi tahun 2011, kerajaan negeri meluluskan peruntukan pendidikan sebanyak RM16 juta iaitu RM6 juta untuk SAR, SJKC (RM6 juta) dan SJKT (RM4 juta).

Katanya, keseluruhan peruntukan bagi bantuan pembangunan pendidikan fasa pertama melibatkan tiga aliran sekolah itu adalah RM6,652,786.

Halimah yang juga Adun Selat Klang berkata, sebanyak 121 Sekolah Agama Rakyat  menerima peruntukan di bawahFasa Pertama 2011, manakala 75 adalah sekolah Cina  dan 97 sekolah Tamil (97).

Permohonan untuk mendapatkan Bantuan Pembangunan Pendidikan bagi Fasa Kedua akan mula di terima mulai esok manakala tarikh tutup permohonan adalah 11 Julai depan.

Borang boleh didapati sama ada melalui portal selangor http://www.selangor.gov.my/main.php, atau di pejabat Adun, Pusat Khidmat Masyarakat serta Unit Pendidikan di Bangunan Pejabat  Setiausaha Kerajaan Negeri pada talian 03-55212283.

0 comments:

top