SHAH ALAM 18 JUN : Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha menjadikan negeri ini sebagai hab ilmuan atau pendidikan untuk mencapai visi menjadi sebuah negeri idaman, maju, sejahtera serta berkebajikan.

Justeru penganjuran Hari Ilmu Negeri Selangor 2011 pada 26 Jun nanti adalah inisiatif serta langkah kritikal kerajaan negeri bagi memastikan ilmu itu dimartabatkan di tahap tertinggi.

Dalam satu tembubual eksklusif krew TV Selangor dan Selangor Kini bersama Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, beliau menjelaskan Hari Ilmu Selangor yang dianjurkan sejak tahun lepas menerima sambutan menggalakkan malah berjaya mengumpulkan kira-kira 15,271 pembaca berdaftar menerusi program Gerakan Membaca Perdana.

"Tahun ini kita melangkah satu tahap ke hadapan di mana kita berjaya mencetuskan budaya membaca sedikit sebanyak di kalangan rakyat Selangor. Apa yang kita perlukan sekarang adalah kita memerlukan bahan bacaan untuk dibaca dan bahan-bahan itu bercirikan tempatan. Kita mahu rakyat di Selangor dan Malaysia menulis supaya hasil karya mereka ini boleh memberi manfaat kepada rakyat Selangor dan Malaysia amnya,"katanya.


Beliau berkata, antara program yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu adalah Perhimpunan dan Konvensyen Penulis, kempen 15 minit "Reading Break" atau "Reading Hour" dan Pesta Buku Selangor bermula 24 Jun sehingga 3 Julai.

Dr Halimah berkata, kempen 15 minit Reading Break itu memperuntukkan semua rakyat Selangor termasuk pimpinan tertinggi untuk berhenti membaca secara serentak.

Katanya, kempen yang akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun itu akan memberi impak khususnya kepada kanak-kanak dan remaja untuk memupuk minat membaca sama ada bahan ilmiah, buku cerita dan sebagainya.

"Kempen untuk membaca itu diadakan di peringkat negeri Selangor. Jadi kita mengharap ia dilakukan secara berterusan di seluruh daerah cuma mungkin di lain-lain waktu. Kita ada 94 buah perpustakaan seluruh Selangor.

"Kita mahu semua perpustakaan ini menjadi nadi sehingga boleh mencetuskan bacathon. Perpustakaan ini akan menjadi nadi kempen membaca sepanjang tahun,"ujar Halimah.

Menyentuh mengenai konvensyen penulis yang merupakan salah satu agenda dalam program Hari Ilmu nanti, Dr Halimah menjelaskan ia bakal mengumpul dan mempertemukan penulis-penulis dari pelbagai peringkat seperti penulis buku profesional mahupun amatur, kolumnis, penulis bebas, penulis buku teks dan bloggers.

Penulis dicadang mengemukakan esei "Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan berkebajikan bagi penghasilan Buku Mega Perdana yang merupaka kesinambungan Gerakan Menulis Perdana yang dilancarkan tahun lalu.

"Konsepnya adalah kita memberi satu ruang untuk bertemu dan berbincang sebagai penulis. Kita akan adakan dialog bersama pimpinan kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri di mana mereka boleh mengetahui cara mempertingkatkan mutu penulisan, mempergiatkan penulisan dan mencetuskan minat di kalangan orang muda,"ujar beliau lagi.

Di samping itu, Dr Halimah turut menegaskan kerajaan negeri Selangor di bawah Exco Pembangunan Modal Insan sentiasa memandang penulis sebagai aset penting yang berupaya mentransformasikan masyarakat berikutan idea penulisan yang dilontarkan mengandungi pengajaran serta nilai murni.

"Kita beri peluang pada penulis untuk luahkan apa masalah, mungkin tidak dihargai atau dipingirkan. Hasil daripada itu nanti kita akan cadangkan pada kerajaan negeri nanti untuk mendengar dan mempertimbangkan hasrat daripada penulis. Kita nak dengar luahan hati penulis kerana belum pernah lagi kerajaan memberi peluang kepada penulis untuk menyatakan masalah mereka,"katanya.

Hari Ilmu Negeri Selangor 2011 akan dirasmikan Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 26 Jun nanti dan dikendalikan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top