Baucar RM100: Walau Nilai Kecil Tapi Amat Bermakna

KLANG 11 OGOS : Walaupun nilai RM 100.00 dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun bagi warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan, pemberian ini membawa erti yang besar kepada mereka.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar pemberian baucar kepada warga emas ini menunjukkan komitmen pentadbiran kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang diperkenalkan sejak tahun 2008.

“Bantuan RM 100 ini adalah untuk mereka (warga emas). Kita tahu bantuan ini tidaklah sebesar mana tetapi ianya sangat bermakna kepada warga emas yang kurang berkemampuan, tidak lagi bekerja dan ada di antara mereka tidak mendapat bantuan daripada anak mereka sendiri,” katanya.

Program ‘Jom Shooping’ yang diperkenalkan ini merupakan sebahagian daripada program untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang telah berdaftar dengan Skim Mesra Usia Emas, SMUE melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor, MES.

Sebanyak RM 10 juta diperuntukkan untuk program ini melalui keuntungan perlombongan pasir yang dilakukan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd, KSSB.

Menurut Xavier, program ini juga memberikan peluang kepada warga emas yang belum pernah mengunjungi pusat mebeli belah seperti ini merasai suasana membeli belah sekaligus memberikan peluang kepada beliau bertemu dengan penduduk setempat.

Ujar beliau lagi, semua nama yang berdaftar untuk program ini akan dibawa untuk membeli belah sebelum program ini berakhir hujung tahun ini.

“Saya telah mengarahkan petugas di pejabat saya untuk memantau perjalanan program ini. Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada ketua kampung dan ahli majlis. Program ini juga secara tidak langsung memberikan ruang kepada saya untuk berjumpa dan beramah mesra dengan warga emas,” katanya.

Program ‘Jom Shopping’ yang dianjurkan di Dun Sri Andalas merupakan pertama kali dianjurkan dengan sambutan yang menggalakkan apabila penyertaan hampir 100 orang warga emas dengan kerjasama Majlis Perbandatan Klang, (MPK) yang menyediakan pengangkutan bas untuk warga emas.

Setakat ini seramai 4,700 orang warga emas di Dun Sri Andalas yang telah mendaftar dibawah Skim Mesra Usia Emas, SMUE dan diharapkan lebih ramai warga emas akan mendaftar di bawah skim ini yang merupakan sebahagian daripada program Merakyatkan Ekonomi Selangor.



Sumber: Selangorkini

0 comments:

top