H1N1: 64 mati, jumlah kes 4,225

Wabak selesema A (H1N1) memakan dua lagi korban, seorang kanak-kanak lelaki 7 tahun dan seorang nenek berusia 74 tahun, menjadikan jumlah kematian 64 kes, setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 384 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 4,225 kes, lapor laman web The Star.

azlanSelasa lepas, jumlah keseluruhan dicatat sebanyak 2,253 kes dengan 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari, waktu itu.

Pendedahan perangkaan terbaru itu menunjukkan peningkatan mendadak dan luar biasa - kira-kira 2,000 kes dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sehingga 9 pagi ini, sejumlah 284 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad.

Manakala 33 pesakit yang disahkan menghidap H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Daripada jumlah yang dirawat di ICU, 17 kes mempunyai risiko tinggi.

Dr Mohd Ismail dipetik berkata bayi tersebut yang menghidap asma dimasukkan ke ICU hospital pada 7 Ogos lepas kerana demam, batuk dan sesak nafas selama dua hari.

"Bagaimanapun bayi tersebut meninggal dunia pada 15 Ogos lepas disebabkan 'severe pneumonia with acute respiratory failure'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita warga emas itu pula yang menghidap diabetes dan kegagalan jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos setelah pengsan di rumahnya dan meninggal dunia pada 12 Ogos disebabkan 'severe pneumonia'.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan influenza A (H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularannya dan meminta agar perhatian wajar diberikan dalam hal ini.

"Mereka yang bersimptom influenza perlu memahami bahawa walaupun simptom yang dialami adalah ringan, virus H1N1 masih boleh disebarkan kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin," katanya.

Oleh itu, beliau berkata sesiapa yang mempunyai simptom influenza mesti berada di rumah atau tidak mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga pulih.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top