Kes Denggi Menurun Di Shah Alam

SHAH ALAM, 4 Ogos - Kes demam denggi di Shah Alam menurun kepada 27 kes, minggu ke 29 iaitu pada 19 hingga 25 Julai, berbanding minggu sebelumnya, sebanyak 28 kes.

Trend tersebut juga dijangka menurun dengan adanya tindakan kawalan dan pencegahan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di seluruh kawasan pentadbirannya.

Bagaimanapun, Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad mengingatkan penduduk supaya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan kediaman mereka bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.

“Kita mohon kerjasama daripada penduduk pada hari-hari cuti tu boleh berkumpul sesama jiran, berbincang untuk mengadakan aktiviti gotong royong. Kita pastikan kawasan kita bebas daripada tempat-tempat yang boleh menakung air”,katanya.

Sharin berkata demikian kepada TV Selangor, ketika ditemui di pejabatnya, di Shah Alam.

Menurut Shahrin, penduduk tidak boleh memandang ringan kes demam denggi dan meletakkan tanggungjawab di bahu pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan sahaja.

Katanya, penduduk perlu memberi kerjasama dalam usaha memerangi wabak tersebut.

“Apabila pihak MBSA dan pihak agensi yang lain membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah,kita minta berilah kerjasama buka pintu, mungkin kita boleh beri penerangan ringkas kepada penduduk bagaimana cara-cara untuk kita atasi masalah denggi”,katanya.

Sehubungan itu, beliau juga meminta penduduk memastikan persekitaran rumah mereka tidak mempunyai tempat air bertakung sehingga menjadi tempat nyamuk aedes membiak.

“Saya memohon kerjasamalah daripada warga kota Shah Alam khususnya dan juga masyarakat supaya dapat meluangkan masa selama 10 minit, setiap minggu itu 10 minit kita boleh membuat pemeriksaan di dalam rumah dan diluar rumah, boleh lihat bekas-bekas yang boleh menakung air,” katanya.

Sumber: Selangorkini


0 comments:

top