Penduduk Bantah Roboh Kuil

Jenjarum - Seramai 300 penganut Hindu berkumpul di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Lunderstand Estate, Jenjarum pagi semalam bagi membantah proses merobohkan kuil yang diarahkan pihak mahkamah.

Penduduk setempat mula membanjiri sekitar kawasan berkenaan bagi mempertahankan kuil tersebut daripada dirobohkan pihak terbabit.

Walau bagaimanapun, keadaan menjadi sedikit tegang apabila segelintir masyarakat meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pimpinan di kawasan berkenaan kerana didakwa mahu mempertahankan kedudukan kuil berkenaan namun berjaya dikawal dengan segera.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, penduduk setempat berkumpul kerana ingin membuat bantahan bagi menangguhkan pelaksanan notis mahkamah nertarikh 8 Mei 2009 yang memerintahkan pengambilan semula milikan tanah oleh pemaju yang terlibat yang menjadi tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Ladang Lunderstand, di sini.

Katanya, pihak jawatankuasa kuil berkenaan meminta jasa baik pihak pemaju menangguhkan sementara notis mahkamah atas alasan pihak jawatankuasa kuil memerlukan satu tapak kuil baru di kawasan strategik.

"Dalam pada itu, Kerajaan Negeri memandang perkara ini dengan serius kerana tidak mahu ia menjadi masalah kepada masyarakat setempat."

"Bagaimanapun, saya mahu pihak pemaju prihatin dengan masalah penduduk disini dan memberi masa selama dua hari bagi menyelesaikan masalah dengan sempurna melalui rundingan yang akan dibuat bersama jabatan yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mendengar permasalahan penduduk di Kuil Maha Mariamman, Ladang Lunderstand, di sini.

Xavier berkata, dalam pada itu, semalam terdapat seorang wakil pemaju turut membuat rundingan bersama beberapa wakil lain dalam membuat rundingan menangguhkan operasi merobohkan kuil dan mahu membuat perbincangan dengan lebih terperinci bagi memastikan keputusan dapat diambil.

Menurutnya, pihaknya berharap pihak pemaju dapat menghadirkan diri dalam mesyuarat yang akan diadakan dan pihaknya akan mengeluarkan notis memaklumkan perkara berkenaan secepat mungkin kepada pemaju terbabit bagi membincangkan permasalahan bersama-sam kedua-dua pihak.

"Kerajaan Negeri amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani masalah ini agar ianya tidak memberi masalah di kemudian hari," katanya pada sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Telok Datok, Tan Choon Swee dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Menurut Xavier, beliau turut mengarahkan ahli jawatankuasa kuil mengadakan mesyuarat bagi membentangkan masalah bagi aktiviti tersebut supaya dapat dibawa dalam mesyuarat bersama pihak pemaju nanti.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dalam usaha mengawal keadaan laluan jalan raya semasa berlakunya keadaan yang sedikit kucar kacir di kawasan ini.

Difahamkan, mesyuarat tersebut perlu diadakan pada hari ini juga (semalam) bagi membantu meningkatkan kerjasama dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Kuil Sri Maha Mariamman, M Sinnai berkata, beliau mewakili jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat terus pada hari ini bagi membincangkan masalah yang dihadapi penganut agama Hindu di kawasan ini.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada pimpinan yang terlibat dalam membawa perkara ini kepada pihak atasan supaya dapat membantu masalah ini dengan segera.

"Selain itu, kerjasama masyarakat setempat diharapkan dapat membantu meningkatkan hubungan baik antara penduduk setempat di sini.

"Dalam pada itu, jawatankuasa kuil mahu perkara ini dapat diatasi segera agar dapat memberi keputusan terbaik kepada penduduk Hindu di kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintanden Rizani Che Ismail berkata, beliau telah menyempurnakan arahan untuk mengadakan sekatan jalan raya bagi mengawal keadaan lalu lintas berhampiran kuil berkenaan.

Menurutnya, keadaan lalu lintas berjaya dikawal dan tiada masalah berlaku sepanjang bantahan yang dibuat penduduk di sini.

"Selain itu, pihak polis turut memantau keadaan orang ramai yang membuat kacau dalam usaha mengelakkan keadaan yang tidak diingin berlaku."

"Orang ramai diminta tidak membuat sesuatu perkara yang boleh menggugat keamanan penduduk setempat tetapi memberi kerjasama dengan pihak polis bagi mengelakkan masalah lain berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Manakala seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai S Muthu berkata, keadaan di sepanjang proses bantahan penduduk sekitar tidak memberi masalah kepada penduduk setempat tetapi mereka sebenarnya ingin mendapat pembelaan yang sewajarnya dari pihak pemaju.

Menurutnya, perkara ini perlu di bincang dan dirunding dengan baik bagi mengatasi masalah tidak sihat untuk terus berlaku.

Bagi seorang pengguna jalan raya, Mohd Razi Ishak, 31, berkata, beliau menyifatkan aktiviti berkumpul di tepi jalan ini memberi kesan kepada keadaan lalu lintas kerana kebanyakan daripada pengguna jalan raya terlewat untuk ke tempat kerja apabila pihak polis mengadakan sekatan jalan raya untuk tidak mengganggu masalah tersebut.

Walau bagaimanapun katanya, kecekapan pihak polis dalam mengadakan laluan alternatif lain membantu melancarkan perjalanan dan keadaan lalu lintas di kawal dengan baik walaupun perlahan.

Sumber Berita: Sinar Harian (S15), 6 Ogos 2009




0 comments:

top