KUALA LUMPUR, 19 Nov: Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) menuntut agar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernald Giluk Dompok menarik balik kenyataannya berhubung gaji pekerja ladang di Malaysia yang didakwa satu pembohongan.

Bernald digesa membuat permohonan maaf secara terbuka atau memberikan hujahnya di luar parlimen agar tidak terlindung dalam imuniti parlimen mengenai kenyataannya bahawa pekerja ladang di Malaysia menerima gaji bulanan antara RM870-RM1,700 iaitu lebih tinggi dari garis kemiskinan luar bandar peringkat nasional iaitu sebanyak RM720
sebulan.

Sugumaran, Penyelaras JSML, sebuah gabungan di bawah Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dalam satu sidang media bersama ahli parlimen Sungai Siput, Dr. D. Jeyakumar di lobi parlimen pagi tadi berkata, kenyataan itu merupakan satu penipuan besar di parlimen dan berniat untuk menindas golongan pekerja ladang.

"Ia adalah fakta yang salah dan mengelirukan serta berniat jahat kerana akan menyebabkan pekerja ladang tidak menapat faedah dari kerajaan kerana dianggap mereka di luar garis kemiskinana," katanya.

Bernald dalam jawapannya secara bertulis kepada soalan wakil Mas Gading, Datuk Dr. Tekhee @ Toko anak Lafe 19 Oktober lalu berkata bahawa penoreh gertah menerima RM870 manakala pekerja buah kelapa sawit menerima RM1, 700.

Namun menurut Sugumaran, kajian yang dibuat serta merta di beberapa ladang di Selangor dan Perak menunjukkan rata-rata penoreh getah, pemotong buah kelapa sawit dan buruh kasar di ladang mendapat gaji kurang daripada RM700 dan di bawah garis kemiskinan RM720.

"Ini jelas menunjukkan jawapan dari kementerian terbabit adalah satu penipuan besar dan menutup masalah sebenar pekerja ladang yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya lagi yang hadir ke parlimen bersama beberapa wakil pekerja ladang di Selangor.

JSML turut meminta kerajaan memberikan angka-angka sebenar gaji pekerja dan menjelaskan bagaimana kerajaan mendapatkan angka-angka berkenaan.

JSML juga mempersoal tindakan Malaysian Agricultural Producers Association (MAPA) yang menolak cadangan JSML pada 1996 yang melancarkan kempen gaji bulanan dan meminta RM750 setiap bulan.
MAPA mendakwa cadangan itu akan menyebabkan ketidaksatbilan dalam perhubungan industri.

pada 2007, MAPA hanya bersetju untuk memberikan kenaikan gaji sebanyak Rm1.40 sahaja sehari untuk pekerja ladang getah dan ladang am.

"Sehingga kini pekerja ladang tidak menikmati gaji bulanan. Cadangan kajian Universiti Malaya pada tahun 2000 yang ditaja oleh MAPA telah menyarankan pekerja ladang diberikan gaji bulanan tapi kajian ini telah dijustifikasi sebagai sulit,"

"Kerajaan BN juga tidak mempunyai kewibawaan politik untuk memberi "gaji minima wajib" iaitu satu struktur gaji yang masih berlandaskan struktur gaji penjajah dan masih adalah gaji harian," katanya.

JSML turut membidas kenyataan Menteri berkenaan bahawa pekerja ladang menikmati banyak faedah iaitu kemudahan rumah, klinik dan pendidikan pra sekolah kepda anak-anak yang menetap di ladang.

Apa yang berlaku tegas Sugumaran adalah sebaliknya iaitu hampir seratus peratus klinik ladang tidak dikendalikan oleh doktor berkelayakan tetapi dikendalikan oleh dresser yang membuka klinik tersebut kurang dari lima hari dalam seminggu.

Hampir seratus peratus sekolah Tamil di ladang juga adalah sekolah bantuan modal kerana kerajaan tidak ada kewibawaan untuk menjadikan sekolah ladang bantuan penuh kerajaan.

Sehubungan itu, JSML mendesak kerajaan agar menyelesaikan isu pekerja ladang ini dengan segera dan Akta Gaji Bulanan dan Akta Perumahan Sendiri Pekerja Ladang dijadikan undang-undang.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

top