Majlis Berkhatan Beramai-ramai MPP Zon 15 Meriah




Shah Alam , 29 November - Seramai 37 orang kanak-kanak hari ini mengikuti Program Berkhatan Beramai-ramai di Zon 15 Shah Alam sempena musim cuti sekolah.

Program ini bertujuan bagi melaksanakan tuntutan syarak dan ibadah “sunat muakkad”  secara berjemaah, sekaligus menghilangkan perasaan takut dan bimbang di kalangan kanak-kanak semasa berkhatan.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar selaku Ahli
Dewan Undangan Negeri Sri Andalas hadir memberi sokongan moral kepada kanak-kanak terbabit.

Menurut Dr Xavier , beliau teruja melihat keghairahan kanak-kanak ini dalam melaksanakan tuntutan syarak ini tanpa perasan takut dan gementar.

“Program hari ini saya lihat begitu meriah sekali dengan keletah anak-anak kita ini,mereka dilihat begitu seronok untuk berkhatan.Dan setahu saya mereka ini terdiri daripada umur 7 tahun hingga 12 tahun ,seramai 37 orang yang terlibat dalam program hari ini. program hari ini juga merupakan program yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa di kampung ini dan dalam masa yang sama kita boleh lihat permuafakatan masyarakat disini,”katanya.

Dr Xavier berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai MPP Zon 15, di Dewan MBSA, Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, pagi tadi.

Majlis berkhatan itu disertai oleh kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sehingga dua belas tahun.
Mereka diarak dengan paluan kompang serta dimandikan dengan siraman paip Jabatan Bomba, Seksyen 15, Shah Alam.

Menurut Dr Xavier lagi, ini merupakan kunjungan kali kedua beliau ke Kampung Sungai Kandis dalam memeriahkan majlis berkhatan beramai-ramai ini.

Katanya, program sebegini juga dapat mengeratkan silaturrahim masyarakat Islam setempat yang tinggal disekitar Zon 15.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah  Mahmud dan Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani.
Upacara berkhatan beramai-ramai bermula jam 10.00 pagi.

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top