Kerajaan negeri dibawah Program Kerajaan Prihatin tidak pernah membezakan dan mengambil kira faktor bangsa, agama dan kaum dalam menyalurkan sebarang bentuk bantuan.
Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata isu perbezaan kaum tidak timbul kerana bantuan yang diberikan samarata.
Terutamanya dalam menangani permasalahan penempatan dikalangan mereka yang tidak berkemampuan dalam memiliki kediaman yang selesa untuk didiami.
"Agihan bantuan yang telah diberikan dan diluluskan sepanjang perlaksanaan program adalah berdasarkan kepada jumlah permohonan yang diterima oleh Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).Setiap permohonan yang diluluskan juga perlulah mematuhi peraturan Kerajaan Prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan kaum,"jelasnya.
Dr Xavier berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib pada hari kelima Sidang Dewan Negeri, hari ini.
Menurut Dr Xavier lagi, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) merupakan anak syarikat kerajaan negeri yang memainkan peranan dan bertanggungjawab menjana serta membiayai kos pembinaan semula dan baik pulih rumah dalam Program Kerajaan Prihatin.
Antara anak syarikat kerajaan negeri lain yang bertanggungjawab dalam menunaikan tanggungjawab sosial ini adalah PNSB, PKNS, Lembaga Zakat Selangor(LZS), Worldwide Holdings Berhad dan KDEB.
Perlaksanaan program ini juga menjurus kepada usaha membantu golongan termiskin di Selangor melalui bantuan bina baru dan baik pulih rumah-rumah berdasarkan syarat yang telah ditetapkan.
Sumber: TVSelangor.com
0 comments:
Post a Comment