YB Dr Xavier Jayakumar hari ini membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan pengumuman perlantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor.

"Bercakap memang pandai tetapi pasal ekonomi dia tidak tahu," adalah antara kata-kata Dr Mahathir yang dipetik dari Malaysiakini.

Beberapa pemimpin UMNO dan BN juga mengkritik perlantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan
mempersendakan nilai elaun RM1 sebulan yang diberikan kepada beliau sebagai bayaran jawatan penasihat tersebut.

"Perlantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi bagi negeri Selangor adalah satu tindakan bijak oleh Pakatan Rakyat di Selangor," kata Dr Xavier.

"Ini boleh kita lihat dengan pengalaman beliau yang diberi amanah sebagai menteri kewangan pada masa lepas. Pengalaman beliau dalam membangunkan perbankan Islam juga dilihat selari dengan hasrat negeri Selangor untuk menjadikan Shah Alam sebagai pusat pelaburan dana Islam," kata Dr Xavier lagi.

"Jika Dato' Seri Anwar hanya pandai bercakap dan tidak tahu ekonomi, kenapa Dr Mahathir lantik beliau menjadi menteri kewangan, bukankah itu suatu tindakan yang tidak munasabah dan bercanggah oleh Dr Mahathir sendiri?" kata Dr Xavier ketika memberi respon terhadap kenyataan Dr Mahathir.

"Mereka sengaja mengkritik dan memburuk-burukkan perlantikan Dato Seri Anwar kerana mereka takut kelemahan BN akan terbongkar. Hal ini tidak boleh disorok lagi, kita sudah lihat kes-kes yang telah dibongkarkan sewaktu era BN mentadbir Selangor dulu," tambah beliau lagi.

Menyentuh tentang bayaran elaun RM1 sebulan, Dr Xavier berkata bayaran tersebut bukanlah suatu isu yang sepatutnya disensasikan oleh para pemimpin UMNO dan BN kerana Dato' Seri Anwar ikhlas memberi khidmatnya kepada kerjaan negeri dan tidak boleh disamakan seperti era pimpinan BN terdahulu yang menyeleweng dana kerajaan serta menyalahguna hak rakyat.

"Mereka sebenarnya risau dan seperti biasa mereka menggunakan media untuk mengelirukan rakyat dengan menyebarkan berita-berita tidak tepat. Rakyat kini sudah bijak dan boleh menilai sendiri kebenaran. Lihat sahaja kenyataan Dr Mahathir yang bercanggah dengan tindakannya sebelum ini," kata Dr Xavier.   

0 comments:

top