Rumah Ibadat di Selangor Mesra Penganut Islam



Satu garispanduan telah ditetapkan dalam piawaian perancangan negeri Selangor bagi memastikan rumah ibadat bukan Islam dibina lebih tersusun dan mesra kepada penganut beragama Islam di negeri itu, kata exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan lisan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR- Seri Setia) dalam sidang DUN Selangor pagi ini.

Dr Xavier berkata, piawaian tersebut antara lain menetapkan supaya ruang untuk membina rumah ibadat bukan Islam disediakan untuk sesuatu kawasan yang didiami sekurang-kurangnya 2,600 orang yang
majoritinya bukan islam atau 5,000 orang keseluruhannya.

Tambahnya, pihak yang terlibat membina rumah ibadat berkenaan juga perlu menghantar notis kepada sekurang-kurangnya 40 rumah di sekeliling tapak berkenaan.

Dr Xavier turut menjelaskan bahawa kelulusan untuk membina rumah ibadat tersebut akan diberi sekiranya tidak menerima bantahan daripada penduduk berkenaan.

Menurutnya lagi, piawaian itu juga menetapkan rekabentuk rumah ibadat itu tidak menonjolkan imej yang "berkait dengan sensitiviti masyarakat Islam."

"Arca yang yang dibina tidak boleh melebihi ketinggian bangunan sedia. Ia juga tidak boleh dibina dekat dengan loji kumbahan atau dekat pencawang TNB," katanya lagi.

Dr Xavier juga berkata, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan kompaun kepada pemilik rumah ibadat yang dibina tanpa pengiktirafan sebagai langkah untuk mengatasi masalah pembinaan rumah ibadat secara haram.

"Kompaun ini kena diberi berterusan sehingga rumah ibadat itu dapat pengiktirafan kerajaan," katanya.

Dr Xavier berkata tindakan tegas yang ditetapkan kerajaan negeri pada Julai tahun lalu itu merupakan salah satu daripada langkah untuk menangani masalah rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top