1Malaysia Sekadar Retorik BN: Xavier

Batu Caves - Gelombang tsunami politik yang melanda negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU-12) lalu dianggap satu perubahan yang besar dalam negara dan kemungkinan akan berlaku lagi pada PRU-13.

Pengerusi Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, berkata, senario yang berlaku menunjukkan keadaan politik sekarang telah berubah berbanding 50 tahun lalu dan rakyat mengharapkan lagi perubahan pada masa akan datang.

Menurutnya Pakatan Rakyat (PR) akan berjaya menyatukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan tidak mudah terpedaya dengan sandiwara yang dimainkan kerajaan Barisan Nasional, (BN).



"Perubahan yang berlaku menunjukkan rakyat mempercayai PR dan berharap kita dapat saling memahami dan bersatu padu demi generasi akan datang."

"Walaupun wujudnya konsep 1Malaysia tetapi yang dilakukan di belakang kita adalah satu permainan politik licik dan penuh retorik," katanya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Perayaan Deepavali Peringkat Parlimen Gombak di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, menasihatkan segelintir Ahli Majlis tidak hanya mengejar projek ataupun kontrak tetapi turun ke bawah mendekati dan menolong rakyat.

Menurutnya, dengan cara pendekatan ini dapat membantu PR mengekalkan negeri yang sedia ada terus diperintah PR.

"Ahli Majlis perlu buat kerja untuk rakyat dan bekerja kuat untuk mengambil pemerintahan Kerajaan Pusat pada PRU-13 nanti dan jangan hanya mengejar untuk mendapatkan kontrak-kontrak," katanya.

Dianggarkan hampir 5,000 masyarakat pelbagai kaum membanjiri Rumah Terbuka Deepavali 2009 anjuran DUN Batu Caves dan Parlimen Gombak.

Sumber: Sinar Harian, S5, 11 November 2009

0 comments:

top