KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA
Tarikh: 11 November 2009
BAJET 2010 BERIMBANG DAN MEMBERDAYA WANITA SELANGOR
Wanita KEADILAN merasa teruja, dan dalam masa yang sama terharu, dengan ucapan Bajet 2010 oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim – khususnya yang menyentuh penegasan dan komitmen untuk melaksanakan dasar minimum 30 peratus kepimpinan wanita di semua peringkat pembuat keputusan
dalam pentadbiran negeri Selangor.Ia adalah manifestasi kepada suatu keluhuran terhadap pengiktirafan pemberdayaan wanita oleh seorang Ketua Negeri di Malaysia.
Wanita Selangor, khususnya dan Wanita Malaysia amnya, kini memikul tanggungjawab besar untuk bersedia dan layak mengisi ruang yang dibuka oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Ia sewajarnya melonjakkan usaha-usaha mewujud, membina dan mengembangkan takungan wanita yang berkelayakan bagi mengisi perjawatan-perjawatan barisan pembuat keputusan dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Pemberdayaan wanita adalah diperlukan dalam usaha reformasi ke arah pembangunan masyarakat madani, yang menitikberatkan pembangunan menyeluruh, sosio-ekonomi dan politik, dengan gandingan para lelaki.
Dengan perancangan khusus misi pemberdayaan Wanita Selangor oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, Wanita KEADILAN percaya bahawa wanita Selangor akan berupaya mencapai ufuk-ufuk kejayaan dalam pelbagai bidang di masa mendatang.
Tumpuan utama yang lain, iaitu proses pembelaan dan perlindungan wanita di Mahkamah dan usaha pemberdayaan wanita berbagai golongan dalam bidang ekonomi amatlah menepati kehendak semasa menurut penilaian status wanita di Selangor.
Wanita KEADILAN mendoakan agar Menteri Besar Selangor dan seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sentiasa diberi segala keupayaan, kesabaran, ilham, dan kebijaksanaan dalam mentadbir Negeri Selangor secara telus dan adil bagi memelihara kepentingan rakyat marhain.
BIRO PENERANGAN
Wanita KEADILAN
0 comments:
Post a Comment