SHAH ALAM 23 OKT : Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini memohon maaf kepada Ronnie Liu kerana memfitnah Exco Kerajaan Negeri itu dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh China Press empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan Ronnie pada 2008.

Khir dalam kenyataan permohonan maafnya berkata, beliau memohon maaf kerana menyebabkan penyiaran sebuah artikel itu yang bertajuk “Khir Toyo membongkarkan laporan polis Ronnie Liu Tian Khiew pernah bercampur Tangan dalam urusan menghapuskan kegiatan pelacuran”.

Beliau sebelum ini mendakwa Ronnie yang juga Adun Pandamaran menghalang pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak polis dalam satu operasi untuk menutup sebuah hotel di Puchong yang digambarkannya sebagai pusat pelacuran.

“Saya juga memohon maaf kepada Ronnie kerana terus menggambarkan beliau terlibat dalam kegiatan seumpama itu sedangkan gambaran itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Menerusi permohonan maaf itu, Khir turut menyatakan kekesalan dan menarik balik kesemua kenyataan yang dibuat terhadap Ronnie serta memohon maaf tanpa syarat terhadap beliau.

“Saya benar-benar menyesal kerana menyebabkan YB Ronnie Liu Tian Khiew mengalami kesusahan yang amat akibat penyiaran artikel tersebut. Saya dengan ini menarik balik kesemua kenyataan yang dibuat terhadap beliau sepertimana terkandung dalam artikel tersebut dan memohon maaf tanpa syarat terhadap beliau,” katanya.

Pada 6 Oktober 2008, Ronnie menyaman Khir kerana didakwa memfitnah dengan mengaitkan beliau dalam usaha menghalang penghapusan kegiatan pelacuran.

Ronnie mendakwa Khir mengeluarkan perkataan palsu dan berunsur fitnah mengenai perkara itu dalam satu artikel yang dicetak dan disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Cina pada 9 Mei 2008.



Sumber: Selangorku

0 comments:

top