CHERAS, 25 OKT : Penduduk Selangor yang masih dikenakan harga air pada tahap komersial oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) disarankan supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing untuk tindakan lanjut.

Ia bagi membolehkan penduduk menikmati pemberian 20 meter padu air percuma yang diberikan Kerajaan Selangor dan mengelakkan mereka daripada dikenakan kadar caj perniagaan yang jauh lebih tinggi berbanding caj kediaman.

Terbaru, 23 kediaman di kawasan Pandan Perdana mengadu yang mereka dikenakan caj perniagaan oleh Syabas bermula bulan ini walaupun mereka telah menikmati air percuma pada kadar kediaman dari 2008.

Kes tersebut didedahkan Adun Teratai, Jenice Lee kepada pemberita dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

“Penghuni yang mengalami masalah ini dinasihatkan supaya merujuk terus kepada majlis perbandaran di kawasan masing-masing bagi membolehkan PBT mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan premis perniagaan telah dijadikan sebagai kediaman.

“Kita tidak mahu penduduk setempat terus berhadapan masalah sama kerana ia akan membebankan mereka apabila terpaksa membayar kadar tarif air yang tinggi,” katanya.

Dalam kes hari ini, 23 unit kediaman itu dikenakan caj perniagaan sejak Oktober tahun lalu akibat salah tafsir Syabas terhadap premis yang didiami penduduk.

Ekoran itu, penduduk terpaksa membayar antara RM36 hingga RM60 sebulan untuk bil air.

Bagaimanapun, setelah merujuk kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai perkara tersebut, Syabas akhirnya bersetuju membatalkan caj air perniagaan yang dikenakan dan mengembalikannya kepada caj air kediaman.

Jenice berkata, masih banyak lagi kediaman di kawasan Pandan Jaya dan Pandan Indah yang mengalami nasib sama.

“Justeru, penduduk perlu segera merujuk kepada MPAJ untuk tindakan lanjut. Jangan hanya berdiam diri kerana ia akan membebankan penduduk sendiri. Air percuma adalah hak rakyat Selangor,” katanya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top