MB: Muhyiddin Tidak Pandai Baca Angka

KUALA SELANGOR 08 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang sebelum ini mendakwa pentadbiran negeri di bawah Umno-BN adalah ‘terbaik’ berbanding Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Abdul Khalid berkata di bawah pimpinan Pakatan, ekonomi dan pembangunan negeri menjadi semakin baik serta maju berbanding Umno-BN.

Ini dibuktikan dengan simpanan rizab negeri yang meningkat setiap tahun, masalah rumah terbengkalai yang diselamatkan, hutang syarikat Talam yang dikutip dan hasil negeri yang dipulangkan kepada rakyat.

“Beliau (Muhyiddin) cakap PR memerintah Selangor tidak baik maknanya beliau tidak pandai baca angka.

“Kalau beliau terus menjadi Timbalan Perdana Menteri, nampaknya teruklah negara kita,” sindir Abdul Khalid dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Kuala Selangor, di Ijok di sini semalam.

Katanya, di bawah Umno-BN hanya RM 100 juta diagihkan kepada rakyat dan ia berbeza dengan pentadbiran Pakatan yang mengagihkan RM 700 juta.

“Pada 2005 hingga 2007, harta Selangor dulu hanya empat peratus, tetapi PR kerja keras untuk dapatkan kembali dengan menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan Umno-BN, contohnya hutang Talam dan projek perumahan terbengkalai.

“Kalau beliau kata Selangor tidak baik atau bagus bawah PR, maka bawah Umno-BN lagi tidak baik,” katanya.

Jelasnya, Selangor merupakan negeri yang paling banyak sumbangannya kepada negara.

“Pada 2008, ekonomi Malaysia bertumbuh tujuh peratus manakala Selangor sebanyak sembilan peratus.

“Manakala pada 2009, ekonomi negara jatuh sehingga tiga peratus dan Selangor hanya jatuh kepada satu peratus. Kini, negara lima peratus, Selangor tujuh peratus. Kalau beliau masih kata tidak baik, saya tidak tahulah,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top