Pendaftaran Online Tambah Pelajar UNISEL

SHAH ALAM, 18 OKT : Universiti Selangor (Unisel) telah meningkatkan pertambahan pelajar yang memberangsangkan selepas mempraktikan pendaftaran dalam talian atau “online”.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, kaedah itu menyaksikan kemasukan pelajar ke universiti itu meningkat dengan pantas sehingga institusi itu risau tidak dapat menampung pertambahan pelajar.

Beliau berkata, kaedah itu telah menampung kemerosotan kemasukkan yang dicatat pada 2009 dan 2010.

Menurutnya, kemasukan pelajar ke universiti tersebut pada tahun ini adalah seramai 11,880 pelajar manakala tahun 2011 mencatat kemasukkan 9,902 pelajar.

“Kejayaan diraih seperti dilapor oleh akhbar-akhbar mengatakan bahawa laporan audit negara pada 2009 dan 2010 menunjukkan penurunan pelajar dan pendapatan itu memang betul dan kita telah banyak membuat pembaharuan bagi mengatasinya.”

“Selain kejayaan-kejayaan dibuat pelajar kita di peringkat nasional dan antarabangsa dan data Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mendedahkan kebolehpasaran pelajar kita yang antara tertinggi di dalam negara kita,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anuar berkata, Unisel juga akan membuat pengambilan pelajar baru pada 5 Januari tahun depan.

Tambahnya, dianggarkan 70 ke 80 peratus pelajar menggunakan kaedah permohonan online.

Daripada 11,880 pelajar itu, katanya, lebih 5,000 ditempatkan di kampus Shah Alam manakala lebih 6,000 lagi di kampus Bestari Jaya.

“Saya risau pada tahun depan kita tidak mempunyai ruang bagi menampung kemasukan pelajar. Bukan risau tidak cukup pelajar masuk,” katanya yang menjangkakan pertambahan pelajar akan terus meningkat ke Unisel dalam masa terdekat.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top