SHAH ALAM, 14 OKT: Terdapat segelintir Badan Pengurusan Bersama (JMB) pro-Umno-BN yang dikesan sengaja menafikan penduduk pangsapuri mereka perkhidmatan air percuma.

Tindakan yang disifatkan sebagai sabotaj ini dilakukan apabila JMB tersebut tidak menukar meter pukal pangsapuri kepada meter individu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad yang mendedahkan perbuatan itu berkata akhirnya penduduk pangsapuri terlibat menjadi mangsa sikap fanatik JMB tersebut.

“Memang ada kes dalam program lapor dan dapat JMB sengaja tidak mahu berkerjasama dengan Kerajaan Negeri.

“Tak mahu melaporkan sehingga penduduk tidak dapat air percuma, ini memang terbukti ada kes.

“Saya rasa tidak patutlah kita mengambil sikap sedemikian walaupun bukan dari parti Pakatan Rakyat, tetapi kita kena pentingkan rakyat dan berkerjasama dengan Kerajaan Negeri,” ujar Iskandar apabila dihubungi TVSelangor.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Iskandar berkata Kerajaan Negeri kini berbincang dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi membolehkan proses migrasi diadakan tanpa penglibatan JMB.

Selain itu, Iskandar berkata terdapat beberapa JMB lain pula menyatakan hasrat untuk tidak menukarkan meter pukal kepada meter individu bagi mengekalkan kuasa mereka ke atas meter air di pangsapuri mereka.

“Setakat ini yang datang jumpa saya taklah banyak, kurang daripada 10 JMB yang menyatakan hasrat secara terus terang.

“Kita dah buat mesyuarat dan Menteri Besar dah buat keputusan dua tahun lepas, migrasi ini adalah wajib, ini bermakna semua kena buat.

“Kita telah berbincang dengan Syabas masa itu dan Syabas telah adakan operasi berperingkat untuk tukarkan meter pukal kepada meter individu, ini sedang dilakukanlah dan ini bermakna mereka kena tukar juga,” ujar Iskandar lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top