SHAH ALAM, 14 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat nasihat yang betul sekiranya beliau menganggap pengambilan tanah Kerajaan Negeri oleh Kerajaan Pusat akan membolehkan projek loji Langat 2 diteruskan.

Sebaliknya dalam isu tersebut, isu pengambilan tanah oleh Kerajaan Pusat bukanlah isu utama, tetapi kelulusan untuk membina sebarang struktur di dalam Negeri Selangor adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Demikian reaksi Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa Rasiah yang juga merupakan pengamal perundangan negara berhubung kenyataan terbaru Muhyiddin mengenai projek Langat 2.

“TPM mungkin tidak dinasihatkan dengan baik, isunya bukan pengambilan tanah, tetapi kelulusan merancang itu mesti datang dari kerajaan negeri di bawah Akta Perangcangan Bandar dan Desa di mana, mana-mana pihak tak boleh membangunkan apa-apa struktur binaan tanpa kelulusan Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Beliau juga memberitahu ketika dihubungi TV Selangor hari ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kuasa Kerajaan Negeri akan meluluskan atau menolak sebarang permohonan merancang oleh mana-mana pihak.

Sivarasa juga menyarankan agar Muhyiddin diberikan nasihat perundangan yang betul dalam menangani isu Langat 2 ini.

Sebelum ini dalam laporan beberapa media tempatan hari ini menyebut Muhyiddin berkata Kerajaan Pusat akan mendapatkan nasihat Peguam Negara sekiranya terdapat peruntukan dalam Kanun Tanah Negara atau Akta Pengambilan Balik Tanah bagi membolehkan projek Langat 2 diteruskan.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top