Kerajaan Selangor mengucapkan tahniah kepada lapan jabatan/agensi negeri yang  mencapai tahap prestasi pengurusan kewangan sangat baik seperti yang dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Kejayaan ini sangat membanggakan seluruh warga pentadbiran kerajaan Selangor kerana pada 2010 hanya empat jabatan/agensi negeri yang mendapat penarafan empat bintang.

Lapan jabatan/agensi negeri yang mendapat penarafan empat bintang pada 2011 ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam, Pejabat Menteri Besar/Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan Perbendaharaan Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri akan menghadiahkan RM20,000 kepada setiap jabatan/agensi negeri yang terlibat sebagai penghargaan di atas komitmen dan  segala usaha yang dilakukan sehingga mencapai kejayaan ini.

Kejayaan ini juga membuktikan kakitangan kerajaan negeri semakin menerima baik dan memahami hasrat kerajaan negeri yang mahukan pentadbiran negeri diurus secara telus dan bertanggungjawab terutama melibatkan pengurusan kewangan.

Kerajaan Selangor juga mengucapkan tahniah kepada Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) - anak syarikat milik penuh kerajaan negeri yang menguruskan Universiti Selangor (UNISEL)- kerana berjaya melaksanakan banyak pembaikan terhadap kelemahan yang dikesan pada 2010. Masalah pentadbiran yang ditinggalkan kerajaan terdahulu telah pun diperbetulkan.

Antara kejayaan itu termasuklah pertambahan pengambilan pelajar yang terus meningkat kepada 11, 880 pelajar pada Oktober 2012 berbanding 9,902 pada Oktober 2011. Malah, kita yakin dan percaya proses timbang tara antara kerajaan negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Jana Niaga Sdn Bhd akan mencapai keputusan positif.

Kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan kerana sebelum ini audit dalaman tidak berfungsi dan Unisel terpaksa menggunakan khidmat audit luar.  Audit kewangan Unisel bagi tahun 2008, 2009 dan 2010 telah siap ditandatangani dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan diadakan pada hujung tahun ini.

Perlu dingatkan bahawa sebelum 2008, laporan audit kewangan Unisel tidak pernah dibuat. Justeru, kerajaan negeri mengambil inisiatif ini untuk memastikan wang rakyat yang digunakan untuk mengurus Unisel ditadbir secara telus dan bebas penyelewengan.

 
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

top