Rakyat terpanggil untuk mempersoalkan tindakan kerajaan menurunkan cukai ekspot minyak sawit mentah (CPO) dari 23%  ke 8% - 10% jelas menunjukkan bahawa kerajaan mementingkan  syarikat-syarikat konglomerat perladangan seperti Sime Darby untuk terus meraih keuntungan walaupun berdepan dengan  kejatuhan harga komoditi tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sebaliknya Kerajaan telah gagal menyekat kenaikan harga susu tepung formula bayi yang dilaporkan naik sehingga RM15 se kg baru-baru ini.

Yang lebih memeranjatkan ialah kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan  bahawa harga produk susu bayi ini bukan di bawah kawalan kementerian beliau.

Jelaslah kepada kita apabila ianya melibatkan rakyat teramai, kerajaan gagal mengawal kenaikan harga barangan keperluan rakyat.

Harga gula naik RM0.20 sens sebaik sahaja PM Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2013 di parlimen baru-baru ini.

Rakyat juga dikejutkan dengan kenaikan harga petrol RON 97 naik RM0.30 sen sebulan yang lalu secara senyap-senyap.

Rakyat terus dibebankan dengan kenaikan tarif eletrik apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasukkan caj Pembekal Tenaga Bebas (IPP) dengan mencetak perkataan “Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu” di dalam bil eletrik kebelakangan ini.

Pakatan Rakyat melihat bahawa Bajet yang dibentangkan PM Najib hanyalah ‘gula-gula’ sekadar di atas kertas sahaja untuk mengaburi mata rakyat dalam  menghadapi PRU 13 tidak berapa lama lagi.

Yang jelas rakyat akan terus dihimpit dengan kenaikan harga barangan keperluan dan bahan api tahun hadapan dan dijangka bertambah buruk ekoran ketidak tentuan ekonomi di eropah.

YB Dr. Xavier Jayakumar
Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor
Tarikh : Sabtu 6 Oktober 2012

0 comments:

top