SHAH ALAM,4 OKT: Kerajaan Negeri menyelar tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang membelakangi Menteri Besar Selangor dan ahli-ahli Exco Kerajaan dalam kes pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang ditukar secara mengejut baru-baru ini.

Exco Kesihatan. Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata, media tempatan melaporkan bahawa kononnya persetujuan untuk pertukaran tersebut dicapai selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.

“Kita ingin perjelaskan bahawa SUK, Datuk Khusrin Munawi hanyalah salah seorang ‘ex- officio’ penjawat awam yang dilantik atas kapasiti jawatan beliau dan bukannya diberikan ‘kuasa’ bagi membuat keputusan bagi pihak ‘Pihak Berkuasa Negeri’.

“Pihak Berkuasa Negeri ialah Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau lebih dikenali sebagai ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Dr Xavier menegaskan, arahan JPA bertarikh 27 September lepas untuk pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya tersebut adalah bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerana Kerajaan Negeri diberikan ‘kuasa mutlak’ melantik Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya oleh pihak JPA.

“Jadi tidak berbangkit isu KSN mengenalpasti pengganti kepada Datuk Bandar Petaling Jaya kerana perlantikan ke jawatan tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan budi bicara Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai seorang penjawat awam, Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai KSN pada 24 Jun yang lalu seharusnya mempunyai rasa hormat untuk mengadakan lawatan kunjung hormat bertemu Menteri Besar dan ahli-ahli Exconya.

Ia kerana beliau harus sedar sebagai seorang penjawat awam seseorang itu harus akur kepada kerajaan sedia ada dan bukannya sekadar mengambil arahan dari Kerajaan Persekutuan sahaja dengan mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Kita juga akan berbincang dengan Khusrin dalam mesyuarat Exco terdekat bagi mendapatkan laporan lanjut tentang isu itu kerana Kerajaan Negeri hanya mengetahuinya dari laporan media,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top