SHAH ALAM, 14 OKT: Tindakan sesetengah Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau syarikat pengurusan harta memotong bekalan air kediaman bagi mengutip tunggakan yuran penyelenggaraan dianggap sebagai kejam.

Sebaliknya, JMB atau syarikat pengurusan harta di pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal dinasihatkan agar mengambil tindakan lain berdasarkan peruntukan undang-undang.

Demikian menurut, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

“Sebenarnya JMB mempunyai kuasa-kuasa lain sebab sekarang ini dah ada 30 kes di mana Kerajaan Negeri membantu JMB membawa penduduk yang tak bayar yuran penyelengaraan ke mahkamah.

“Yang disaman banyak lagilah, tetapi bila dah mula bawa kes ke mahkamah, ramai (penghuni) yang bayar (yuran penyelengaraan),” kata Iskandar.

Iskandar memberitahu, tindakan mahkamah mendorong penduduk lain yang mempunyai tunggakan yuran penyelenggaraan membuat bayaran kerana bimbang di saman pihak JMB.

JMB atau pihak penguruan harta mempunyai kuasa untuk mengawal meter air di pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal.

Ini membolehkan JMB atau pihak pengurusan harta memotong bekalan air penduduk yang mempunyai tunggakan yuran penyelengaraan.

Sumber: Selangorku


0 comments:

top