Selangor Tetap Akan Guna Teknologi Membran

KUALA LUMPUR, 30 OKT : Kerajaan Selangor tetap akan membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan penghasilan air terawat meskipun kerajaan pusat mahu meneruskan projek mega Loji Rawatan Air Langat 2.

Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegasnya, Selangor sebenarnya tidak berhadapan dengan krisis air dan pembinaan loji Langat 2 bukanlah satu keperluan yang perlu disegerakan.

Apa yang penting katanya, proses penstrukturan semula industri air perlu dilakukan segera bagi memastikan penduduk di Lembah Klang mendapat bekalan air terawat pada harga yang berpatutan.

“Kita tidak ada masalah kekurangan air mentah. Logiknya adalah air mentah cukup.

“Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan.

“Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan Loji Langat 2.

“Kerajaan persekutuan masih tidak menerima hakikat penyelesaian semula industri air adalah penstrukturan semula industri air di Selangor.

“Antara faktor adalah peratus air tidak berhasil (NRW) mesti dikurangkan sehingga 10-15 peratus kerana ianya termaktub dalam perjanjian dgn konsesi air pada tahun 2008,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada sesi sidang Dewan Rakyat Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon, berkata kerajaan pusat berharap kerajaan Selangor akan memberikan peluang untuk Langat 2 dilaksanakan.

Kenyataan Noriah adalah jawapan kepada MP Rembau, Khairy Jamaluddin yang mengemukana soalan mengenai kuasa kerakaan pusat bagi membolehkan Langat 2 dilaksanakan di Selangor.

Selain itu, Abdul Khalid menyatakan, kos pembinaan Langat 2 lebih tinggi berbanding teknologi membran yang hanya memerlukan kos sebanyak RM 800 juta.

Ujarnya lagi, beliau akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi membincangkan perkara ini sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung pada 19 November ini.

“Oleh kerana jawapan Timbalan Menteri macam tidak percaya, saya bercadang untuk bertemu dengan TPM dan seluruh jawatankuasa untuk menerangkan teknologi dan cadangan kami.

“Kalau cadangan saya diterima pakar, saya akan buat penyusunan semula industri air.

“Saya boleh cuba masukkan program Langat 2 sebagai langkah jangka panjang dan bukannya jangka pendek,” jelasnya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top