Tuntutan di Hari Buruh: Gaji minimum RM1,500

Seramai kira-kira 700 orang menyertai perarakan di pusat bandar Kuala Lumpur hari ini dalam perhimpunan tahunan Hari Buruh dengan mesej utama – gaji minimum yang diumumkan perdana menteri semalam tidak memadai.

Kumpulan itu mendesak supaya kadar gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,500 – bukan hanya RM900 di semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawah.

Kumpulan berpakaian merah itu berarak dalam suasaran meriah sambil memukul gendang dan melaung slogan untuk menuntut "gaji minimum RM1,500."

Selain itu, kumpulan itu juga menyuarakan tuntutan mengadakan pilihan raya bersih dan adil, menghentikan diskriminasi ke atas pekerja wanita dan eksploitasi ke atas pekerja asing.

Turut disuarakan ialah tuntutan untuk pendidikan percuma dan supaya kerajaan mengawal harga barang keperluan.

Sebanyak 14 tuntutan itu dinyatakan dalam risalah dinamakan Deklarasi 1 Mei 2012 yang diedarkan kepada orang ramai semasa perarakan itu.

Deklarasi itu disokong 58 NGO dan parti politik termasuk Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube), PKR, PSM dan Dewan Pehimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagaimanapun, presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Khalid Atan yang ditemui di perhimpunan itu berkata, dasar yang diumumkan kerajaan itu memadai buat masa ini.

Katanya jumlah itu bukanlah sesuatu yang akan dikekalkan buat selama-lamanya tetapi akan disemak semula setiap dua tahun.


Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top