Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liong Tiong Lai diselar kerana memberikan kenyataan yang mengelirukan dan berbau politik dengan menyatakan punca utama peningkatan kes denggi di Selangor disebabkan oleh pungutan sampah yang tidak mengikut jadual ditetapkan.

Berdasarkan analisa kita semenjak Januari 2011 hingga Mei 2012, peningkatan kes denggi antara lain adalah disebabkan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan tapak-tapak perumahan terbengkalai, rumah-rumah kosong, kawasan sekolah dan pejabat serta premis kerajaan di seluruh Negeri Selangor.

‘Sampling’ di hotspot tersebut jelas menunjukkan bahawa ianya tiada kena mengena dengan isu pungutan sampah seperti yang dibangkitkan oleh Tiong Lai.

Kita sarankan Tiong Lai agar bersikap lebih professional dan janganlah terikut-ikut perangai buruk pemimpin UMNO/BN yang membangkitkan pelbagai isu sejak kebelakangan ini untuk memburuk-buruk pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.   

Isu pungutan sampah telah berjaya ditangani oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan berkesan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Ia hanya diperbesarkan dan seterusnya diputarbelitkan oleh media perdana pro UMNO/BN saban hari.

Apa yang menarik diperhatikan di sini ialah dalam kenyataan media Datuk Seri Dr. Hassan Abdul Rahman ,Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang dipetik oleh Bernama pada 18 Mei, 2012 tersebut mencatitkan bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikatakan “bersih” dan tidak menghadapi masalah kutipan sampah pula menduduki tempat kedua dengan 360 kes (dengan peningkatan 59%) dalam peningkatan kes denggi di Negara kita selepas Negeri Selangor

Harus diingat bahawa pejabat Tiong Lai sendiri yaitu Kementerian Kesihatan Malaysia terletak di Putrajaya dan Putrajaya sendiri adalah antara kawasan panas wabak (hotspot) tertinggi kes pembiakan nyamuk denggi.

Kerajaan Negeri juga merasa kesal apabila Tiong Lai menuding jari kepada Kerajaan Negeri sedangkan Kementerian Kesihatan / Kerajaan Persekutuan sendiri telah gagal menurun peruntukan dana kepada Kerajaan Negeri dalam menyediakan peralatan dan  tenaga kerja tambahan sedangkan Kerajaan Negeri melalui PBT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah telah bersungguh-sungguh menjalankan aktiviti dan program-program pembasmian denggi di seluruh 12 PBT di Negeri Selangor.

Saya mencabar Tiong Lai agar turun padang dan menunjukkan kepada saya di mana longgokan sampah di bawah selian PBT setempat yang menjadi lokaliti ‘hotspot’ kes denggi tersebut.

Kegagalan beliau berbuat demikian akan mengesahkan kepada umum bahawa beliau hanyalah bercakap kosong dan isu yang sedang hangat dibangkitkan adalah merupakan propaganda politik.        


YB Dr. Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor

Tarikh : 21 Mei, 2012

0 comments:

top