Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.

Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.

Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.

“Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.

“Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.

Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.

“Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir,” katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top