MB: Kerajaan Negeri Prihatin Selesaikan Isu Rakyat

SEPANG, 18 MEI : Soo Kian Huat, 51, menghadapi masalah berhubung cermin keretanya dipecah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berhasrat membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib namun masalah tersebut gagal diselesaikan.

Walaupun hal tersebut dianggap perkara remeh namun sebagai penduduk setempat hal tersebut menimbulkan ketakutan dikalangan orang awam.

Hari ini beliau berkesempatan untuk berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengajukan perkara tersebut.

Soo mendakwa, jalan awam di belakang rumahnya telah dibina bangunan komersial yang diragui kebenarannya dan akhirnya menyebabkan jalan tersebut ditutup.

Katanya, pelan tapak kawasan itu juga telah diubah dari pelan asal kerana pembinaan bangunan komersial tersebut diluluskan kerajaan Umno-BN dahulu.

“Saya mempunyai bukti yang mendakwa ini adalah berpunca daripada mereka,” katanya yang datang dari Banting untuk menemui Abdul Khalid.

Sebelum ini, beliau cuba membawa perkara ini ke Pejabat Tanah dan Majlis Daerah Kuala Langat namun tiada apa-apa tindakan sehingga kini.

Abdul Khalid berkata, masalah ini akan diselesaikan melalui satu sesi pendengaran awam yang akan dihadiri oleh penduduk dan pemaju serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri akan cuba membantu menyelesaikan perkara ini sambil cuba menyiasat adakah isu ini adalah betul atau tidak,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Syed Mohd Ali Syed Muhammad As-Salam, 45, menyatakan kaunter aduan yang disediakan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengutarakan masalah kepada kerajaan negeri.

“Pentadbiran kerajaan negeri bagus kerana turun padang untuk mendengar masalah penduduk untuk diberikan tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata kerajaan serius dalam menangani isu yang dibangkitkan rakyat supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

“Program hari ini adalah bertujuan rakyat dapat bersemuka dengan pemimpin-pemimpin negeri untuk menyelesaikan sesuatu perkara” katanya ketika memberi ucapan di majlis dialog bersama rakyat di Dewan Orang Ramai Sepang pagi tadi.

Sementara itu, Program Dialog Bersama Rakyat ini turut dihadiri Exco-exco Selangor iaitu Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Yaakob Sapari, Dr. Xavier Jayakumar, Dr. Halimah Ali, Rodziah Ismail, Iskandar A. Samad.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top