Selangor Mahu 'Klausa Keluar' Tol SUKE

Kerajaan Selangor hari ini mencadangkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya memasukkan klausa keluar (exit clause) dalam perjanjian konsesi Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi membolehkan perjanjian konsesi ditamatkan apabila syarikat mencapai sasaran keuntungan lebih awal.

"Apabila ini berlaku kutipan tol harus diberhentikan dan lebuh raya berkenaan perlu dikembalikan kepada pengurusan kerajaan," katanya.

Khalid berkata, klausa itu mesti dimasukkan dalam semua perjanjian konsesi lebuhraya bertol,berkaitan dengan keuntungan pembinaan dan pulangan ekuiti kerana kerajaan persekutuan bertindak menaja jamin SUKE.

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid mengingatkan tentang pengamalan sebelum ini apabila syarikat konsesi terus dibenarkan mengutip tol walaupun syarikat konsesi telah pun mengaut keuntungan.

"Penswastaan lebuh raya tidak boleh dibuat semata-mata memberi keuntungan mudah kepada syarikat konsesi di atas kos perbelanjaan rakyat," katanya sambil menekankan mereka menentang penuh urus tadbir yang "berat sebelah" dan membebankan rakyat.

Bagaimanapun, setelah mendengar penerangan cadangan pembinaan SUKE, kerajaan negeri secara prinsipnya bersetuju dengan projek infrastruktur itu kerana ia akan membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri.


Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top