SHAH ALAM 22 MEI : Terpinggir sekian lama, masyarakat India di Selangor kini berbangga dengan usaha kerajaan negeri memberi nafas baru terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Midlands di Jalan Plumbum di sini.

Pada masa ini, sekolah yang terletak di Seksyen 7 tersebut beroperasi di bangunan sementara sejak 2004 dan dijangka berpindah ke bangunan baru yang terletak bersebelahan pada awal Jun nanti.

Menurut Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), S Kumaravel, usaha dan kerjasama diberikan kerajaan negeri ini diharap dapat membuka mata Kerajaan Pusat untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat khususnya dari segi infrastruktur pendidikan.

“Sepatutnya, segala usaha ini diterajui Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, namun kerajaan negeri yang prihatin masih memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan pembinaan sekolah di tapak kekal ini.

“Kita dapat lihat perbezaan besar di sini, Kerajaan Pusat yang mempunyai lebih kuasa tidak berbuat apa-apa selama berpuluh tahun, tidak peduli dengan keperluan dan hak rakyat, tidak adil dan memilih bulu.

“Sebaliknya kerajaan negeri yang baru empat tahun memerintah sudah menunjukkan satu komitmen yang tinggi demi rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sehingga terbinanya bangunan baru ini,” jelas Kumaravel sambil memaklumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri merasmikan bangunan sekolah terbabit pada 15 April lalu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), K Uthayasoorian menambah kejayaan pembangunan SJKT Ladang Midlands ini membuktikan bahawa amalan rasuah dan ketirisan adalah duri dalam daging yang akan menyekat pembangunan dan kemajuan negara.

“Dengan kos RM 4.9 juta yang diuruskan dengan amanah dan betul, kita dapat bangunkan sebuah sekolah yang baik dan selesa seumpama ini dalam tempoh hanya setahun.

“Kesemua ini diusahakan tanpa bantuan Kerajaan Pusat dan hanya berbekalkan sokongan daripada kerajaan negeri, PIBG, LPS, bekas-bekas pelajar, dan badan korporat lain.

“Saya ingin mencabar Kerajaan Pusat untuk bangunkan sekolah sebegini, bukan sahaja sekolah SJKT malah termasuk sekolah kebangsaan, SJK(C) dan Sekolah Agama Rakyat bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar telus dan amanah seperti yang sering diuar-uarkan,” cabar Uthayasoorian.

Kompleks sekolah berkenaan antara lain merangkumi 24 bilik darjah yang setiap satunya mampu menempatkan 40 orang murid, makmal komputer, makmal sains, pusat sumber, bilik kemahiran, pejabat guru, bilik koperasi, kantin serta tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Sumber: Selangorku

0 comments:

top