SHAH ALAM 13 MEI : Hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’.

Peserta demonstrasi juga membawa kain rentang bertulis ‘Hapuskan Tol Baru Betul’, ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’ selain laungan ‘Hidup Rakyat’, ‘Hapuskan tol’, ‘Undi Pakatan Rakyat Tak Bayar Tol’, dan ‘Undi BN Bayar Tol’. 

“Kami dapat simpulkan kehadiran rakyat berbilang kaum pada hari ini sebagai gerakan rakyat secara bersepadu untuk bersama-sama mendesak Kerajaan Pusat berhenti dari terus membebankan rakyat.

“Sedangkan pulangan modal yang sepatutunya mereka perolehi sudahpun mereka dapatkan lama dulu,” jelas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Atkin.

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan MP Shah Alam Khalid Samad di Tol Batu Tiga di sini.

Sementara di plaza tol Sg Rasau, pemimpin Pakatan Selangor dan kira-kira 100 individu turut mengadakan sebuah lagi demonstrasi bagi tujuan yang sama.

Kumpulan itu turut dipimpin Exco Selangor Ronnie Liu dan Dr. Yaakob Sapari, Kapar MP S. Manikavasagam dan ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan.

Khalid berkata kedua-dua tol tersebut sepatutnya sudah lama dihapuskan.

 ”Laluan ini memang sudah lama wujud dan mereka (syarikat konsesi) sekadar melebarkannya daripada dua ke enam lorong.

“Pengguna pula terus dikenakan bayaran sehingga ke hari ini selepas kira-kira dua puluh tahun kutipan tol dimulakan.

“Mengambil kira kenderaan yang semakin banyak, sehari sahaja PLUS (Projek Lebuhraya Usahasama Berhad) mampu mengutip ratusan ribu. Bayangkanlah untuk beberapa tahun ini, memang inilah paling mengarut sekali,” jelasnya sewaktu ditemubual TVSelangor.

Salah seorang peserta demonstrasi mencuri tumpuan apabila beliau mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa perlu membuat bayaran.

Bagaimanapun, Dr Xavier yang berada di situ segera mengarahkan palang tersebut diturunkan dan beliau berjanji untuk membayar ganti rugi yang ditanggung pihak PLUS.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top