KLANG, 5 MEI : Kerajaan Negeri telah memulakan beberapa usaha bagi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya bas, supaya ianya lebih menyeluruh.

Ini termasuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi merancang lebih laluan dan menawarkan subsidi kepada syaraikat bas untuk memberi perkhidmatan di kawasan yang kurang menguntungkan.

Tumpuan akan diberi kepada kawasan perumahan pangsapuri kos rendah supaya penghuni boleh mengurangkan penggunaan kereta dan menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.

Ini memandangkan lebih 50 peratus penduduk Selangor kini tinggal di dalam pangsapuri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ketika ini perkhidmatan bas di Selangor tidak menyeluruh kerana syarikat bas hanya memilih laluan tertentu yang menguntungkan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah mengemukakan perkara itu kepada SPAD dan perangkaan mengenainya juga telah dihantar kepada badan itu.

Katanya, perancangan akan dijalankan SPAD dan Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada penghuni pangsapuri kos rendah terlebih dulu bagi tujuan itu.

“Saya jangka SPAD akan mula membuat beberapa “trial run”. Ia sudah ada dalam perancangan SPAD,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesra Menteri Besar bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memberi cadangan mengenai laluan yang diperlukan sebelum Kerajaan Negeri membuat perjanjian dengan syarikat bas berhubung laluan itu dan membayar subsidi untuk tiket.

“Dengan ini saya meminta PBT untuk memberikan cadangan jalan. Contohnya di Klang ada kawasan Seri Perantau yang jauh dari bandar.

“Kita akan adakan satu perjanjian dengan syarikat bas untuk menentukan jalan itu dilalui dan untuk tiketnya kita akan bayar subsidinya kepada syarikat bas. Kalau berjaya kita akan gunakan kupon bagi percuma untuk penghuni pangsapuri itu pergi ke bandar dan balik,” katanya.

Menerusi kaedah itu, katanya, lebih ramai orang akan menggunakan pengangkutan awam dari memandu kereta sendiri dan ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kos perbelanjaan keluarga.

Antara kawasan tumpuan pangsapuri adalah Petaling Jaya, Ampang Jaya, Shah Alam, Selayang, Klang dan Kajang.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top