Kerajaan Pusat Henti Salur Peruntukan

Klang - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar kesal dengan tindakan Kerajaan Pusat yang tidak lagi menyalurkan peruntukan kepada Pejabat Daerah dan Tanah negi kegunaan rakyat setempat.

Menurutnya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini ada menyalurkan peruntukan untuk kawasan luar bandar kepada Pegawai Daerah melalui Pejabat Daerah dan Tanah.

Dengan peruntukan itu, Pegawai Daerah dengan kerjasama Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan melakukan kerja seperti menaik taraf kawasan tertentu mengikut keperluan.

Bagaimanapun, peruntukan itu tidak lagi diberi dan ia menimbulkan kesukaran pihak-pihak terbabit untuk melakukan kerja terutama menghulurkan bantuan kepada penduduk miskin.

"Bila tiada peruntukan, ketua kampung terutamanya akan meminta bantuan daripada kerajaan negeri."

"Walau macam mana pun kita akan bantu juga setelah meneliti dan beri peruntukan tersebut ikut kemampuan," katanya ketika membuat lawatan ke Kampung Jawa untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk miskin, semalam.

Beliau berkata, rakyat telah membayar pelbagai cukai kepada Kerajaan Pusat dan wang tersebut sepatutnya disalurkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk dikembalikan kepada rakyat.

"Apa yang saya difahamkan, mereka (Kerajaan Pusat) bagi peruntukan secara terus kepada pihak yang kita sendiri tidak ketahui."

"Siapa yang akan bertanggungjawab kepada peruntukan tersebut? Siapa yang akan jawab tentang laporan audit akhir tahun?" katanya.

Menurutnya, negeri Selangor sahaja membayar 24 peratus dari keseluruhan cukai-cukai yang dikutip Kerajaan Pusat yang bernilai RM160 bilion.

"Pejabat Daerah dan Tanah Klang sepatutnya menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat sekurang-kurangnya RM5 juta."

"Tapi sekarang apa pun tiada. Mana pergi semua peruntukan itu?" katanya.

Pada lawatan itu, Xavier telah menyumbangkan hamper dan beras kepada 23 rumah terpilih selepas menyampaikan cek sebanyak RM2,500 kepada Badan Kebajikan Islam Kampung Jawa untuk program sukaneka di kawasan tersebut.

Hadir sama dalam lawatan itu pegawai-pegawai dari Pejabat tanah, Pejabat Kesihatan, Pejabat Taman dan Rekreasi, Jabatan Bangunan, Jabatan perancang, penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor.


Sumber Berita: Sinar Harian, 1 Julai 2009, S4


0 comments:

top