Penduduk diminta Beri Kerjasama: JMB

Taman Sentosa - Penduduk diminta untuk memberikan kerjasama terhadap penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi memudahkan segala gerak kerja berjalan dengan lancar terutama dalam menyelesaikan isu setempat.

Timbalan Pengerusi JMB Impian Sentosa, Amirudin Md Arif berkata, penubuhan JMB di sini sejak dua bulan lalu banyak membantu dalam menangani pelbagai masalah yang timbul terutama yang berkaitan dengan tempat tinggal mereka.

Menurutnya, sejak mendiami kediaman disini lima tahun lalu, pelbagai masalah timbul antaranya keretakan bangunan, kerosakan di kolam renang dan sistem keselamatan yang tidak sempurna serta pernah mendapat perhatian Sinar Harian sebelum ini.

"Penubuhan JMB sejak dua bulan lalu menampakkan perubahan positif terutama dalam memastikan keselesaan penduduk di sini terjamin seperti di kawasan perumahan yang lain."

"Selain daripada itu, kita juga mendirikan tembok di sekeliling kawasan perumahan bagi tujuan keselamatan yang berjumlah RM188,000 dan dibiayai oleh ejen pengurusan Robina Jaya Sendirian Berhad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Taklimat Bersama JMB Impian Sentosa, di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, pihak polis, ahli majlis dan wakil daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Amirudin berkata, sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselesaan penghuni 525 unit rumah di sini, pihaknya juga membincangkan isu utama iaitu keretakan bangunan dengan MPK bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menanganinya.

Katanya, masalah lain yang membelenggu penduduk antaranya kerosakan lif akan ditangani sebaik mungkin dan pada masa yang sama meminta penduduk untuk bekerjasama mencegah perbuatan vandalisme yang menjadi punca utama kepada masalah itu.


Sumber Berita: Sinar Harian, 22 Julai 2009 (S19)



0 comments:

top