6 sekolah, 1 maktab , 11 kem PLKN ditutup kes H1N1

Enam buah sekolah dan sebuah maktab perguruan di Pahang dan Pulau Pinang ditutup hari ini bagi membendung penularan wabak selesema A (H1N1).

Sebelas kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Semenanjung turut ditutup selama seminggu berikutan terdapat pelatih
menunjukkan tanda-tanda jangkitan penyakit seakan-akan selesema (ILI).

Empat buah sekolah di Pahang yang berkenaan: SMK Seri Jengka, Maran; SM Abdul Rahman Talib, Kuantan, SM Sains Tengku Abdullah, Raub dan SMK Clifford, Kuala Lipis diarah tutup sehingga 7 Ogos.

Tindakan itu diambil setelah pemeriksaan Jabatan Kesihatan mendapati lapan pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan disahkan positif H1N1, lapor Bernama.

Sementara di Pulau Pinang pula, dua buah sekolah berkenaan SMK Permatang Pasir dan Sekolah Agama Al-Iqwan, Teluk Kumbar serta Maktab Perguruan Tuanku Bainun ditutup sehingga 7 Ogos.

Sebelas kem PLKN di Semenjung - daripada 83 buah di seluruh negara - diarah tutup susulan wujud tanda-tanda jangkitan influenza A (H1N1) di kalangan pelatihnya, lapor agensi berita itu lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata kem yang terlibat ialah:

> Kem PLKN Bina Semangat YPJ di Mersing, Johor;
> Kem PLKN Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak;
> Kem PLKN Jiwa Murni, Semanggol, Perak;
> Kem PLKN Sri Impian, Pulau Pinang;
> Kem PLKN Syruz, Bukit Mertajam, Pulau Pinang;
> Kem PLKN Merang Suria, Terengganu;
> Kem PLKN Peladang, Setiu, Terengganu;
> Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka;
> Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka
> Kem PLKN Rachado Bay, Port Dickson, Negeri Sembilan; dan
> Kem PLKN Geo Kosmo, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Penutupan itu melibatkan 2,478 pelatih setelah kira-kira 450 orang pelatih dikesan dijangkiti ILI.

"Kebanyakan pelatih menunjukkan tanda-tanda dijangkiti ILI selepas pulang daripada bercuti selama empat hari bermula 24 Julai lepas dan dalam masa yang singkat jumlah pelatih yang mempunyai tanda-tanda ini bertambah dengan banyak," Abdul Hadi dipetik berkata hari ini.

Tambahnya, mengikut prosedur Kementerian Kesihatan, sesuatu tempat yang mempunyai simptom influenza A (H1N1) akan diarah tutup sekiranya 5 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuninya didapati mengalami demam sehingga mencecah 38 darjah Celcius.

Sumber: MalaysiaKini

0 comments:

top