H1N1: Tujuh dirawat di ICU

Tujuh orang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan selesema A (H1N1) dan 11 lagi dirawat di rumah, kata ketua pengarah kesihatan.

Jumlah ini kira-kira 1 peratus yang masih dirawat, sementara selebihnya daripada 1,302 kes - termasuk empat kematian - telah berjaya disembuhkan, kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 728 kes atau 56 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

Sejumlah 36 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan - semuanya kes tempatan yang melibatkan rakyat tempatan. Seramai 32 orang dari tujuh gugusan baru penularan wabak, sementara tiga lagi kejadian dari satu gugusan sedia ada.

Hanya satu kes merupakan kes terpencil - wanita 22 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sg Buloh kelmarin selepas didapati mengidap radang paru-paru. Kes disahkan dijangkiti virus tersebut semalam.

h1n1 chart BMSementara itu, menurut Dr Mohd Ismail lagi dalam kenyataan hariannya berkenaan wabak itu, 89 pertanyaan diajukan kepada Kementerian Kesihatan semalam.

Dua persoalan utama yang ingin diketahui orang ramai:

Tempat-tempat yang dikenakan arahan penutupan kerana penularan influenza A(H1N1) dan kementerian mengingatkan mereka bahawa wabak itu cenderung merebak di kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi seperti di sekolah, kolej dan institusi pengajian.

Kementerian itu menyarankan supaya orang ramai agar mengamalkan social distancing atau tindakan merenggangkan dari orang lain dan mengurangkan aktiviti pergaulan di kawasan wabak, termasuk pengajaran dan pembelajaran.

Dr Mohd Ismail juga mengingatkan bahawa vaksin influenza A (H1N1) belum dihasilkan lagi dan hanya dijangka akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

"Cara yang paling berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan influenza A (H1N1) adalah mengamalkan kebersihan diri yang baik, adab batuk dan mengamalkan social distancing seperti yang sering disarankan oleh kementerian," katanya.

Sumber: MalaysiaKini

0 comments:

top