KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh) - Polis telah mula mengadakan sekatan jalan raya sejak pagi tadi di jalan utama di sekitar Lembang Klang yang menuju ke Kuala Lumpur menjelang dua perhimpunan ISA yang dirancang diadakan esok.

Lalu lintas hari ini bergerak perlahan di beberapa lokasi apabila jalan-jalan utama kini menjadi satu laluan.

Terdapat dua sekatan jalanraya di Lebuhraya Persekutuan di PJ dan satu lagi di Jalan Tun Razak, berhampiran Hospital Kuala Lumpur.

Dua kumpulan iaitu pro-ISA dan anti-ISA akan meneruskan rancangan mereka mengadakan perhimpunan tersebut, walaupun polis mengarahkan mereka supaya membatalkannya.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan perhimpunan anti-ISA manakala Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) akan mengadakan perhimpunan pro-ISA.

Esok kumpulan pro-ISA merancang untuk mula berkumpul di tiga kawasan iaitu di Masjid Negara, Padang Merbok dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Mereka kemudiannya akan menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang antaranya menyatakan sokongan terhadap ISA.

Sementara itu, kumpulan anti-ISA - GMI turut akan berkumpul di tiga lokasi iaitu di kompleks membeli-belah SOGO, Masjid Negara dan Masjid Jamek.

Dari tiga lokasi berkenaan, penyokong GMI akan bergerak serentak pada jam 2.00 petang menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan 'Deklarasi Rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

top