Penduduk Mohon Premium Tanah Lot dikurangkan

Semenyih - Penduduk sekitar Kampung Pasir Baru dekat sini memohon premium tanah kediaman mereka dapat dikurangkan berikutan kebanyakan daripada mereka terdiri golongan kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Peketja Ladang, Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, penduduk telah memanjangkan surat kepada EXCO berhubung permohonan tersebut.

Menurutnya, kini premium dinilai pada kadar RM2 bagi setiap kaki persegi dan kebanyakan daripada mereka perlu dibayar premium tanah sehingga mencecah RM12,000.

"Penduduk memohon supaya pembayaran premium dapat dikurangkan kepada 40 peratus manakala bagi kakitangan kerajaan sebanyak 30 peratus," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan sumbangan mesin rumput dan berdialog dengan ketua kampung di Kompleks Mukim Penghulu di sini."

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan beberapa kepimpinan tempatan.

Xavier berkata, kerajaan negeri masih lagi belum memberi kelulusan berikutan ingin meneliti sekiranya penduduk yang disenaraikan itu adalah penduduk tempatan dan sewajarnya mendapat potongan.

Beliau difahamkan bahawa ada antara penduduk tidak menduduki kediaman mereka malah telah menyewakannya kepada orang lain sedangkan mendapat tanah di lot setinggan di situ.

"Saya telah meminta supaya ketua kampung menyerahkan senarai nama penduduk yang tidak berkemampuan dan berpendapatan rendah supaya kami boleh meneliti pengurangan yang dimohon."

"Jika kami mendapati permohonan pengurangan premium tanah itu perlu, maka kelulusan daripada EXCO perlu diperoleh terlebih dahulu dan pengurangan adalah berdasarkan syor yang dikeluarkan," katanya.

Xavier berkata, kebanyakan penduduk yang asal menetap disitu adalah terdiri daripada mereka yang miskin dan tidak mampu untuk menjelaskan premium yang dikenakan kerajaan negeri manakala bagi golongan yang berkemampuan ianya akan dikaji semula.


Sumber Berita: Sinar Harian, 8 Julai 2009, S25



0 comments:

top