SHAH ALAM 11 NOV: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan masalah demam denggi yang melanda Selangor.

Bercakap pada pelancaran program Strategi Mobilisasi Sosial dan Komunikasi (COMBI) anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beliau berkata, isu kesihatan tidak wajar dipolitikkan.

“Nyamuk Aedes tidak mengenal sama ada anda ahli PKR, MCA atau mana-mana politik. Ia boleh terkena pada sesiapa jua jika masyarakat tidak mengutamakan pencegahannya,” katanya.
 
Beliau berkata, pencegahan demam denggi penting kerana tiada satu sistem imunisasi bagi mengatasi wabak itu, berbeza dengan beberapa penyakit lain yang ada suntikan untuk meningkatkan imunisasi manusia.

Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menunjukkan sebanyak 11,498 kes dilapor setakat 5 Oktober lalu, meningkat 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatat tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012.

Sebanyak 230 lokaliti wabak dilapor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) daripadanya di Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di Gombak.

Jabatan itu menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti hotspot atau wabak berlarutan di Selangor.

Sumber: SelangorKini

0 comments:

top