DAP menyifatkan suntikan dana tambahan Umno kepada syarikat Utusan Melayu Bhd sebanyak RM40 juta  adalah tindakan terdesak Umno dan membuktikan penyalahgunaan wang kerajaan secara terang-terangan.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, berkata pendedahan berkenaan amat mengejutkan dan mendesak Suruhanjaya Sekuriti supaya menjadi sebuah badan bebas tanpa campur tangan daripada kerajaan.

"Berdasarkan peraturan jika kepentingan Umno dalam syarikat tersebut meningkat melebihi 2% ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

"Memandangkan usaha Umno untuk mendapatkan tawaran terbitan hak kepada syarikat tersebut, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1% dan dengan itu ia mewujudkan tawaran am mandatori, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua berkata, DAP mendesak agar Suruhanjaya Sekuriti tegas dalam melindungi integriti kewangan negara dalam pasaran.

Katanya, amat penting bagi suruhanjaya bertindak dengan adil dan harus dilihat telus kepada semua pelabur Malaysia.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai rancangan parti Melayu itu menyuntik RM40 juta dalam Utusan Malaysia melalui cadangan "two-call rights issue (TCRI)".

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan tersebut akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan Malaysia daripada 49.8 % kepada 53.1 %.

Dengan jaminan untuk membeli saham terbitan, kuasa mengundi Umno bakal meningkat kepada kira-kira 67. 2% lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan.

Pada masa sama, Pua turut menggesa menteri Kabinet yang masih berfikiran wajar untuk bangkit menyatakan bantahan mengenai isu penyalahgunaan wang rakyat itu.

"Ini merupakan konflik kepentingan apabila kita tahu menteri kewangan juga merupakan Presiden Umno," katanya.

Pua berkata, akhirnya alasan kerajaan memujuk syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menyokong akhbar Utusan Malaysia dengan membeli iklan dalam akhbar itu terjawab.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dikatakan menyerahkan surat arahan rasmi secara bertulis kepada semua pengarah agensi dan syarikat GLC untuk membeli ruang iklan dalam akhbar tersebut.

"Tindakan oleh menteri Umno tersebut adalah perbuatan penyelewengan kewangan yang sangat menakutkan.

"Utusan Malaysia dilaporkan dibebani hutang sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 malah pada 2012 akhbar itu kerugian sebanyak RM15. 8 juta, ditambah pula pada suku pertama tahun ini jumlah kerugian sebanyak RM8.8 juta," katanya.

Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

top