Zuraida Kecewa SYABAS Gagal Selenggara Pam Air

PETALING JAYA 2 JAN : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) digesa memberi respon segera berhubung masalah ketiadaan bekalan air di beberapa kawasan Selangor.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata masalah ketiadaan air itu berlaku di kawasan Ampang, Gombak dan Pandan.

Katanya, banyak rungutan yang diterima oleh penduduk yang meminta Syabas membuat penjelasan terperinci berhubung masalah itu yang kini berlarutan selama seminggu.

“Bekalan air terputus sejak minggu lepas iaitu bermula 28 Disember dan pada 31 Disember kembali pulih, bagaimanapun, pada 1 Januari hingga hari ini, bekalan air terputus lagi.

“Apabila dihubungi pihak Syabas memaklumkan bahawa lima buah pam air di Wangsa Maju mengalami kerosakkan dan tidak boleh digunakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Zuraida mempersoalkan tindakan Syabas yang tidak membuat penyelenggaraan serta pemeriksaan secara berkala terhadap rumah pam itu sehingga ia rosak serentak.

Jelasnya, ia membuktikan bahawa Syabas sebenarnya tidak mengambilkira perancangan jangka panjang dalam aspek penyelenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan yang lebih efektif dan pengurusan berwibawa.

“Jika begini cara Syabas menguruskan bekalan air, seeloknya pengurusan air ini dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Selangor. Sepatutnya Syabas memperuntukkan sebahagian pendapatan syarikat untuk kerja baikpulih dan penyelenggaraan,” katanya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top