SHAH ALAM 16 JAN : Kerajaan Negeri sedia membantu penduduk di beberapa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air untuk mengemukakan tuntutan mahkamah daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air sejak dua minggu akibat kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju.

Syabas juga didakwa cuai kerana kesemua lima pam termasuk dua pam dalam simpanan (standby pump) rosak dan keraguan timbul apabila dua pam yang jarang digunakan turut rosak menunjukkan syarikat konsesi air itu gagal menyelenggaranya dengan baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan daripada Geran Selangorku untuk membiayai penduduk yang ingin mengemukakan tuntutan daripada Syabas di mahkamah.


Katanya, penduduk berhak mengemukakan tuntutan di atas kegagalan Syabas menyediakan perkhidmatan yang sempurna kepada penduduk.

“Rakyat boleh memfailkan tuntutan di mahkamah dan Kerajaan Negeri akan membantu melalui Geran Selangorku untuk membela perkara-perkara yang tidak adil,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor yang dipengerusikan Datuk Mohamed Khusrin Munawi akan memantau operasi Syabas setiap hari terutamanya pelan tindakan dan pemulihan air syarikat itu.

Jawatankuasa tersebut juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan rumah pam dan penyelesaian jangka pendek dan panjang gangguan itu.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top