Operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihentikan sementara pada 14 Januari lalu selepas dikesan terdapat bau minyak melebihi parameter yang dibenarkan telah kembali beroperasi seperti biasa bermula 8 malam tadi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, loji rawatan berkenaan sudah mula membekalkan air terawat sebanyak 554.52 juta liter sehari (JLH) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebaik saja beroperasi semula.

Hari ini, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang diurus operator air, Konsortium Abbas, mengeluarkan air bersih pada kadar 665 JLH hingga 670 JLH, walaupun mengikut reka bentuk hanya boleh mengeluarkan air sebanyak 545JLH.

Beliau berkata, penutupan sementara operasi loji itu selama enam jam akan menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Subang, Puchong dan Sri Kembangan  tetapi tidak seteruk seperti yang diramalkan oleh SYABAS.

“Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah beroperasi seperti biasa namun ia masih memerlukan masa untuk air terawat sampai kepada pengguna kerana sistem agihan air kepada pengguna adalah di bawah kawalan SYABAS sepenuhnya sebagai operator tunggal agihan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Justeru, SYABAS perlu memastikan mekanisma agihan air terawat kepada pengguna berjalan lancar untuk mengelak gangguan bekalan air yang serius,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Abdul Khalid berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAIS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melawat kawasan yang tercemar itu dan akan menghantar laporan untuk tindakan lanjut.

Menteri Besar berkata, Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor mempunyai data-data bekalan air dengan terperinci tanpa perlu bergantung kepada SYABAS untuk membekalkan maklumat-maklumat ini.

Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan Selangor telah bersedia dan berkemampuan untuk mengambilalih operasi air daripada syarikat konsesi walaupun belum mendapat persetujuan kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar menegaskan gangguan bekalan air di Lembah Klang tiada kaitan langsung dengan pembinaan Loji Langat 2 sebaliknya ia berpunca kelemahan SYABAS yang dilanda krisis pengurusan.

Katanya, SYABAS sebuah syarikat yang diberi konsesi selama 30 tahun oleh Barisan Nasional untuk memonopoli agihan air terawat kepada pengguna di Lembah Klang tetapi syarikat ini tidak mempunyai kemampuan kewangan serta gagal mematuhi perjanjian konsesi.

Katanya, SYABAS gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) di bawah 30 peratus seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi. Justeru, masalah kekurangan air terawat tidak akan selesai walaupun Langat 2 dibina kerana ketidakmampuan SYABAS menurunkan kadar NRW.

“Masalah air di Lembah Klang hanya akan selesai sekiranya kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dengan membenarkan kerajaan Selangor mengambilalih operasi air daripada konsesi.

“Namun, cadangan pengambilalihan ini tidak disokong kerajaan Persekutuan walaupun pengambilalihan operasi air oleh kerajaan-kerajaan negeri terkandung dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 yang diluluskan Barisan Nasional sendiri,” katanya.

Menteri Besar juga mengulangi ingatan supaya pemimpin Barisan Nasional termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak berpolitik secara matang dengan tidak menggunakan isu air untuk mengugut rakyat Selangor supaya menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.


Dikeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

top